Kuala Lumpur International Airport 2 terima sijil perakuan bomba

Kuala Lumpur International Airport 2 terima sijil perakuan bomba

PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), terminal khas bagi penerbangan tambang rendah terbesar dunia, menerima Sijil Perakuan Bomba daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini.

Ketua Pengarah Operasi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Abdul Hamid Mohd Ali berkata penganugerahan sijil tersebut kepada bangunan klia2 merupakan satu lagi bukti kesungguhan dan komitmen pihak MAHB dalam memastikan terminal berkenaan selamat untuk beroperasi.

“Penganugerahan sijil ini juga mengesahkan pematuhan klia2 terhadap semua garis panduan keselamatan yang ditetapkan oleh agensi-agensi penguatkuasa dan pemantauan tempatan serta antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

pg18_151105_a

Beliau berkata sijil perakuan yang dikeluarkan pada 3 Jun 2015 juga susulan daripada pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak JBPM ke atas bangunan Terminal Utama dan bangunan Satelit di klia2 pada 27 April lepas

Katanya sijil perakuan itu dikeluarkan setelah pihak JBPM berpuas hati dengan sistem Pemasangan Keselamatan Kebakaran yang terdapat di klia2 dan memenuhi piawaian yang telah ditetapkan jabatan itu sepertimana terkandung dalam Akta Perkhidmatan Bomba 1988 dan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984.