Kuala Sg. Kedayan akan berwajah baru

Kuala Sg. Kedayan akan berwajah baru

Oleh Imelda Groves HA & Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mac – Kawasan Kuala Sungai Kedayan hingga Jambatan Edinburg di ibu negara bakal berwajah baru apabila projek menghidupkan semula (regenarasi) eko koridor kawasan berkenaan siap menjelang 2018.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong (gambar kanan) berkata, projek tersebut yang bertujuan untuk mencantik dan mengindahkan kawasan berkenaan sedang dilaksanakan.

Menurut beliau, kerja mengorek Sungai Kedayan bagi Zon A telah bermula pada bulan Januari 2016 dan dijangka siap pada bulan Julai 2016.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan perkara ini semasa menjawab soalan Yang Berhormat Haji Zulkipli bin Haji Abdul Hamid serta beberapa ahli lain mengenai Pelan Induk Bandar Seri Begawan, pada persidangan Majlis Permesyuaratan Negara hari ini.

Beliau berkata, projek regenerasi Sungai Kedayan akan menyediakan zon pembangunan di mana kemajuannya akan dapat menghidupkan suasana Bandar Seri Begawan dengan memberikan peluang bagi pembangunan infrastruktur dan kemajuan perdagangan dan ekonomi setempat.

pg01_160311_b

pg01_160311_MMN-_LogoTambahnya, projek pembangunan infrastruktur itu akan melibatkan pelaburan swasta tempatan dan asing melalui Perkongsian Awam Swasta (PPP).

Sementara itu, jelas Yang Berhormat Pehin, Jabatan Bandaran BSB dengan kerjasama pelbagai agensi yang berkepentingan sedang merancang dan melaksanakan projek PPP di beberapa kawasan pertumbuhan BSB.

Antara projek yang sedang dalam penilaian untuk dilaksanakan di bawah PPP adalah projek pembangunan bersepadu yang melibatkan 12 buah rumah kedai di Jalan SOAS, Bangunan Pusat Komersial Bumiputera dan bangunan letak kereta bertingkat di Jalan Cator.

“Kedua ialah menaik-taraf Tamu Selera di Jalan Dato Taib dan yang ketiga ialah Resort Hotel dan destinasi restoran di Kampong Ayer, serta yang keempat ialah pembangunan pelbagai (mixed development) di Kampung Menglait Zon D iaitu Eko Koridor Sungai Kedayan.”

Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata, pelaksanaan projek-projek yang dicadangkan di bawah Pelan Induk BSB sentiasa dinilai dari semasa ke semasa bagi menentukan keberkesanan dan ketepatan masa ia dilaksanakan.

Menyentuh persoalan mengenai bangunan-bangunan yang terletak di kawasan Kampong Ayer, Yang Berhormat Pehin berkata ia adalah dikawal melalui akta kesalahan kecil bangunan-bangunan di Kampong Ayer.

“Rumah yang di Kampong Ayer adalah mengikut garis sukatan yang telah pun dibenarkan melalui akta kecil berkaitan dengan kesalahan-kesalahan berhubung dengan bangunan-bangunan di Kampong Ayer yang memperuntukkan jarak antara rumah ke rumah adalah 20 kaki.

Perkara ini adalah mengambil kira dalam pencegahan merebak api kebakaran, akan tetapi rumah-rumah yang ada dari dahulu lagi tidak menepati garis sukatan ini dan hanya dapat dilaksanakan pada pembangunan baru.

Berhubung dengan isu rumah usang dan roboh, Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan kerjasama penghulu mukim dan ketua-ketua kampung pada masa ini aktif dalam melaksanakan penelitian dan penilaian mengenai jumlah dan punca rumah tersebut.

Ini termasuk melaksanakan banci penduduk dan perbincangan bersama pemilik-pemilik rumah untuk mengambil tindakan yang bersesuaian sama ada untuk diroboh ataupun diperbaiki,” tambah Yang Berhormat Pehin lagi.

ARTIKEL YANG SAMA