Kualiti bacaan pegawai masjid dipertingkatkan

Kualiti bacaan pegawai masjid dipertingkatkan

Oleh HM Yusof

TUTONG, 31 Jan – Dalam usaha mempertingkatkan kualiti dan mutu bacaan pegawai-pegawai masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) baru-baru ini, telah mengungkayahkan Bengkel Menghalusi Bacaan Doa-doa bagi Pegawai-pegawai Masjid Seluruh Negara.

Hadir bagi meninjau bengkel yang dilaksanakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman yang juga dalam rangka lawatan kerja ke Daerah Tutong.

Bengkel tersebut  bertujuan bagi mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam bacaan doa sama  ada dari segi makhraj al-huruf mahupun dari segi fasahah, di samping meningkatkan hafalan dan kefasihan dalam bacaan doa.

Bengkel menyasarkan seramai 295 orang terdiri daripada kalangan pegawai hal ehwal masjid, imam dan bilal serta merbut dan dilaksanakan mengikut zon dan kawasan masjid di keempat-empat daerah.

Yang Berhormat Pehin meninjau bengkel menghalusi bacaan pegawai-pegawai masjid.
Yang Berhormat Pehin meninjau bengkel menghalusi bacaan pegawai-pegawai masjid.

Peserta bengkel dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan fasa pelaksanaan. Fasa pertama memfokuskan kepada bacaan doa-doa terpilih seperti Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam; Doa Selepas Sembahyang Fardu Jumaat dan Doa Selepas Sembahyang Sunat Hajat.

Terdahulu, Yang Berhormat Pehin juga meninjau ke tapak projek bagi pembinaan bangunan masjid baru di Kampung Sengkarai, Daerah Tutong. Pembinaan masjid yang diambil alih oleh GR Technic Sdn Bhd itu menelan belanja kira-kira $3.8 juta, dengan tempoh 12 bulan dan dijangka akan siap pada bulan Disember 2016.

Projek pembinaannya adalah di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan dengan menggunakan peruntukan melalui wang zakat asnaf Al-Gharimin.

ARTIKEL YANG SAMA