Kualiti udara di tahap sederhana

Kualiti udara di tahap sederhana

pg01_150915_c-1

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Keadaan berjerebu di negara ini masih berterusan dengan kualiti udara berada di tahap sederhana, kecuali Temburong.

Indeks Pencemaran Udara (PSI) pada jam 4.00 petang ini di Brunei Muara mencatatkan bacaan Sederhana iaitu 65 PSI, Belait (67 PSI) dan Tutong (68 PSI). Temburong bagaimanapun mencatatkan bacaan Baik iaitu 48 PSI.

Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan dalam satu kenyataan berkata, keadaan berjerebu yang melanda negara pada masa ini adalah disebabkan oleh sejumlah titik panas akibat dari kebakaran hutan dan lahan yang berlaku di kepulauan Borneo, dengan ditiup angin perlahan dari Barat Daya (Southwesterly) menuju ke Negara Brunei Darussalam.

Imej satelit yang diterima dari ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) hari ini menunjukkan sebanyak 732 titik panas telah dikesan di sebelah Selatan kepulauan Borneo.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai bahawa pada bacaan PSI sederhana (di antara 50 dan 100), bagi yang tidak mempunyai masalah kesihatan bolehlah melakukan aktiviti luar manakala kanak-kanak, warga tua dan seseorang yang menghidap penyakit asma, penyakit paru-paru dan penyakit jantung adalah dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah.

Orang ramai juga dinasihatkan meminum air yang mencukupi dan berjumpa doktor di Pusat Kesihatan sekiranya terdapat kesan-kesan kesihatan seperti batuk-batuk, selesema, mata yang pedih dan susah bernafas.

Maklumat mengenai dengan bacaan PSI juga boleh didapati di laman web www.env.gov.bn setiap dua jam.

ARTIKEL YANG SAMA