Kualiti udara sederhana

Kualiti udara sederhana

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Sept – Brunei Darussalam, hari ini, masih lagi diselubungi jerebu dengan bacaan indeks pencemaran (PSI) yang dicatat di kesemua stesen pemantauan kualiti udara menunjukkan bacaan yang tinggi berbanding hari-hari biasa, bagaimanapun secara keseluruhannya ia masih di tahap sederhana.

Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), keadaan ini disebabkan sejumlah titik panas akibat kebakaran hutan dan rumput di Kepulauan Borneo yang ditiup angin perlahan dari barat daya menuju ke Negara Brunei Darussalam.

Imej satelit yang diterima dari Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) pada 8 September, menunjukkan sebanyak 951 titik panas telah dikesan di sebelah selatan dan tenggara Kepulauan Borneo. Bacaan PSI awal pagi ini menunjukkan kualiti udara yang sederhana di keempat-empat daerah dengan Daerah Brunei dan Muara mencatat PSI 54, Belait 56, Temburong 51 dan Tutong mencatat PSI 57.

Menurut JASTRe lagi, bacaan PSI kurang daripada 50 adalah bagi keadaan kualiti udara baik, manakala bacaan PSI di antara 50 dan 100 adalah di tahap sederhana.

Dalam pada itu, beberapa daerah di negeri jiran turut mengalami jerebu. Menurut laporan Bernama, bacaan IPU(Indeks Pencemaran Udara) tidak sihat dicatatkan di Samarahan iaitu 175.

Jerebu turut meliputi daerah negeri jiran, Limbang.
Jerebu turut meliputi daerah negeri jiran, Limbang.

Manakala Sri Aman pula merekodkan bacaan 151 diikuti Kuching 149 berbanding masing-masing 148 dan 146 pada tempoh yang sama.   Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Kementerian Kesihatan menjelaskan, jerebu merupakan fenomena yang berlaku apabila debu halus (particle) yang kering seperti habuk, asap dan sebagainya mencemari udara.

Jerebu boleh menyebabkan kesan-kesan alahan seperti gatal-gatal kepada tubuh badan termasuk mata, hidung dan kerongkong yang boleh menyebabkan batuk, selesema, mata berair dan kesukaran bernafas.

Selain itu, ia juga boleh lebih memudaratkan keadaan mereka yang menghidap penyakit jantung atau paru-paru yang kronik seperti asma (ampus).

Kementerian Kesihatan turut mengongsikan langkah-langkah untuk melindungi diri daripada kesan jerebu termasuk mengelakkan daripada berada di luar rumah untuk jangka masa yang lama, mengurangkan aktiviti di luar rumah, mengamalkan kebersihan diri pada setiap masa seperti mencuci muka dan tangan sebaik saja masuk ke dalam rumah, banyak meminum air, menggunakan krim atau losyen pelembap bagi kulit yang kering dan menggunakan cecair titik mata yang tidak mempunyai bahan pengawet jika mata terasa pedih.

Bagaimanapun, jika terdapat tanda-tanda seperti demam selesema berpanjangan, alahan dan kesukaran bernafas, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera di pusat-pusat kesihatan atau hospital yang berhampiran. JASTRe akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa, yang mana orang ramai akan dimaklumkan mengenai dengan kualiti udara melalui stesen-stesen RTB dan laman web jabatan.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan aktiviti-aktiviti yang boleh menyebabkan terjadinya kebakaran rumput dan hutan. Orang ramai juga digesa untuk melaporkan ke Jabatan Bomba dan Penyelamat jika terjadinya kebakaran di talian Hotline 995.

Bagi sebarang aduan pembakaran terbuka dan pertanyaan mengenai kualiti udara, orang ramai boleh menghubungi JASTRe di talian Hotline Darussalam 123 dan 2241262 sambungan 405 semasa waktu bekerja. Maklumat mengenai bacaan PSI juga boleh didapati di laman web www.env.gov.bn setiap dua jam.

Manakala itu, bagi sebarang maklumat dan nasihat kesihatan lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Kementerian Kesihatan di talian Healthline 145 semasa waktu bekerja atau dengan melayari www.moh.gov.bn. Maklumat mengenai ramalan kaji cuaca boleh diperoleh dengan melayari laman web Jabatan Kaji Cuaca, Kementerian Perhubungan di www.met.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA