Kuantan Range...

Kuantan Rangers, Miri FA bakal beraksi

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Esok dua pasukan dari Malaysia iaitu pasukan Kuantan Rangers dan Miri FA akan memulakan cabaran mereka dalam Liga Futsal Brunei (BFL) 2017. Kedua-dua pasukan Malaysia tersebut sepatutnya menyertai BFL pada permulaan kejohanan 10-pasukan itu pada April 16 tetapi tidak dapat membuat demikian atas sebab-sebab tertentu.

Kuantan Rangers akan memulakan kempen mereka dengan perlawanan menentang RizFiz FT esok, kemudian menentang Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) pada hari Sabtu dan menghadapi Miri FA dalam perlawanan ketiga mereka pada hari Ahad ini. Semua perlawanan tersebut dijadualkan bermula pada jam 7 malam di Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Manakala Miri FA membuka kempen mereka menentang Najip FC esok dan akan berdepan dengan Kota Junior pada hari Sabtu. Kedua-dua perlawanan Miri FA itu dijadualkan bermula pada jam 9 malam di venue yang sama.

Jadual dan kedudukan BFL boleh didapati di laman sesawang Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD), www.nfabd.org.

NFABD menjemput Kuantan Rangers dan Miri FA untuk bersaing di BFL2017 dengan tujuan untuk meningkatkan lagi mutu BFL pada tahun ini.

Di samping itu, penyertaan Pasukan Kuantan Rangers dan Miri FA akan memberikan pendedahan baru kepada pasukan-pasukan yang berada di dalam BFL.

ARTIKEL YANG SAMA