Kuasa agensi ...

Kuasa agensi perisikan China diperluas

BEIJING, 18 Mei – Agensi-agensi perisikan China akan mempunyai kuasa lebih kukuh untuk mengawasi dan menyiasat warga asing dan menjalankan operasi di dalam China dan luar negara di bawah undang yang baru dicadangkan yang mengkanunkan fungsi sistem keselamatan luas Beijing.

Kerajaan di bawah Presiden Xi Jinping dalam tempoh beberapa tahun lalu telah berusaha meluaskan dan menyediakan asas sah bagi kuasa agensi risikan demi keselamatan negara dan memerangi pengganasan.

Langkah itu telah mencetuskan kebimbangan dari kerajaan AS dan kumpulan hak asasi kemanusiaan yang mengatakan kuasa-kuasa baru itu boleh digunakan untuk menyekat penentang politik, mendiamkan pertubuhan asing yang bekerja di China dan memaksa syarikat-syarikat teknologi memberikan kemudahan kepada parti Komunis untuk mendapatkan maklumat sensitif.

Gabungan kumpulan perniagaan dari Jepun, Britain, AS dan negara-negara lain minggu ini merayu kepada China supaya menangguhkan undang-undang keselamatan siber yang baru dibentuk.

Mereka memberi amaran bahawa ia boleh menyalahi komitmen dagangan bebas Beijing.

Para pegawai China menegaskan kawalan ketat data adalah perlu untuk mencegah pengganasan dan kegiatan anti kerajaan.

Cadangan terbaru itu akan membolehkan pihak berkuasa untuk menggunakan teknik pengawasan elektronik dan merampas kenderaan dan hartanah.

Ia menggesa bagi kerjasama operasi perisikan di semua peringkat masyarakat China, termasuklah ketenteraan, institusi awam dan rakyat.

“Badan-badan, pertubuhan atau individu yang terlibat dalam tindakan yang membahayakan keselamatan negara dan kepentingan Republikan Rakyat China dalam sempadan China mesti dihukum oleh undang-undang, ” cadangan itu mengisytiharkan. – AP

ARTIKEL YANG SAMA