Kuasa eksport pemacu daya saing Malaysia

Kuasa eksport pemacu daya saing Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) – Ekonomi Malaysia yang juga pengeluar minyak, kekal berdaya saing biarpun berdepan kelemahan harga minyak dan ringgit berikutan kemampuan negara ini mengekalkan kelangsungan kuasa eksportnya, kata institusi pembiaya terbesar Jepun, Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ (Malaysia) Bhd (BTMU).

Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Naoki Nishida turut menjangkakan daya saing relatif eksport Malaysia akan terus meningkat pada tahun-tahun mendatang hasil pemeteraian perjanjian perdagangan mega seperti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang menyediakan akses pasaran lebih meluas dengan halangan kastam yang lebih terhad.

Pada masa sama, katanya, kos pengeluaran bagi Petronas juga rendah jika dibandingkan dengan negara pengeluar minyak lain seperti Amerika Syarikat (AS), Rusia dan Venezuela.

“Kos pengeluaran minyak di negara ekonomi baharu muncul seperti Rusia dan Venezuela adalah jauh lebih tinggi. Malah, negara-negara ini memang terjejas sedikit,” katanya.

Industri minyak dan gas ternyata lembap pada 2015 apabila Brent, iaitu penanda aras minyak mentah global, jatuh ke tahap AS$61.31 setong pada Jun selepas mencecah paras kemuncaknya AS$112 pada Jun 2014.

Kejatuhan harga itu berterusan ke paras di bawah AS$50 setong sejak Ogos 2015 dan mencecah AS$36.66 setong pada 2 Mac, 2016 iaitu hanya tinggi sedikit daripada AS$36.20 setong yang dicatatkan ketika krisis kewangan 2008.

Nishida juga mengunjurkan kadar pemulihan bagi pasaran minyak global adalah lebih perlahan bagi beberapa tahun akan datang berikutan masalah lebihan bekalan minyak global.

“Kalangan pemerhati pasaran mengunjurkan harga minyak mentah ini akan meningkat kepada AS$50 setong menjelang akhir tahun ini. Namun saya secara peribadi berasakan kita bernasib baik andai dapat melihat ia mencecah paras AS$40 setong pada suku ketiga berdasarkan keadaan semasa,” katanya.

Tambahnya, faktor peralihan permintaan-bekalan berperanan penting bagi menentukan pasaran minyak berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA