Kuasa milik sepenuhnya kerajaan negeri

Kuasa milik sepenuhnya kerajaan negeri

KUCHING, 18 Sept (Bernama) – Hak Sarawak berbeza dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan kuasa yang diperuntukkan kepada negeri ini tidak sepatutnya diambil alih kerajaan persekutuan, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang menjadi antara tuntutan yang melonjakkan lagi populariti beliau di Bumi Kenyalang ini.

Menurutnya beliau hanya menuntut perkara yang dimeterai dalam perjanjian pembentukan Malaysia 1963 yang memberikan beberapa kuasa dalam bidang-bidang tertentu kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata pada peringkat awal mungkin rakyat Sarawak tidak kisah apabila kuasanya diambil alih kerajaan persekutuan sedikit demi sedikit, walaupun semasa timbul kemungkinan berlaku pertindihan kuasa.

“Kita akan kekal selamanya sebagai sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia. Apa yang kita mahu adalah pentadbiran negeri lancar.

“Bidang tertentu sepatutnya ditadbir urus kerajaan negeri, tidak sepenuhnya di bawah Kerajaan Pusat,” katanya.

“Cuma apa yang kita mahu adalah bidang tertentu ditadbir kerajaan negeri, mungkin kita boleh tadbir lebih baik daripada Kerajaan Pusat,” tambahnya.