Kuasa nuklear Jepun kembali

Kuasa nuklear Jepun kembali

TOKYO, 10 Ogos (AFP) – Jepun dijangka memulakan semula reaktor nuklear untuk kali pertama dalam dua tahun esok, kata pengendali, tatkala sentimen anti-nuklear masih kuat ekoran krisis Fukushima pada tahun 2011.

Reaktor No. 1 di kilang nuklear Sendai, hampir 1,000 kilometer dari barat daya Tokyo, telah pun dipenuhi dengan bahan api nuklear dan pengendalinya mengumumkan hari ini reaktor akan beroperasi pada pukul 10:30 pagi esok.

Reaktor berusia 31 tahun itu dijangka mencecah kapasiti operasi sepenuhnya pada kira-kira “pukul 11:00 malam” esok, kata jurucakap Kyushu Electric Power.

Permulaan operasi diadakan empat setengah tahun selepas tsunami berpunca daripada gempa bumi mencetuskan peleburan di kilang Fukushima, sekali gus mendorong penutupan kumpulan reaktor di negara. Jepun, yang bergantung pada tenaga nuklear untuk satu perempat daripada elektriknya, memulakan semula dua reaktor buat sementara waktu untuk memenuhi keperluan penduduk negara itu. Namun kedua-duanya ditutup pada September 2013, menjadikan negara bebas daripada nuklear selama kira-kira dua tahun.

Penduduk setempat membuat satu bantahan di luar loji nuklear kuasa elektrik di Kyushu, Jepun. – AFP
Penduduk setempat membuat satu bantahan di luar loji nuklear kuasa elektrik di Kyushu, Jepun. – AFP

Kerajaan Perdana Menteri Shinzo Abe berminat untuk memulihkan operasi reaktor berkenaan, begitu juga dengan syarikat tenaga yang memiliki mereka, bosan kerana terpaksa menebus kapasiti penghasilan elektrik yang hilang dengan bahan api fosil yang mahal.

Namun penduduk Jepun berasa was-was dan negara masih terjejas akibat Fukushima, yang memaksa berpuluh ribu orang berpindah keluar daripada rumah mereka. Pegawai keselamatan telah menekankan bahawa reaktor akan beroperasi di bawah peraturan yang lebih ketat berbanding peraturan sebelum krisis Fukushima, bencana nuklear paling teruk sejak Chernobyl pada 1986.

Namun perasaan orang awam masih menentang kepulangan kepada penggunaan tenaga nuklear.

Hari ini, kira-kira 400 pembantah mengadakan bantahan di depan kilang Sendai, yang terletak di selatan pulau Kyushu di Jepun.