Kubah mata lalat serikan muzium kesenian Amerika

Kubah mata lalat serikan muzium kesenian Amerika

BENTONVILLE – Sebuah kubah geodesic besar dilengkapi dengan 61 keping kaca bakal di bina di muzium kesenian Amerika, Crystal Bridges di Arkansas.

Struktur kubah yang dinamakan sebagai Fly Eye itu direka oleh mendiang Buckminster Fuller yang cukup terkenal dengan seni reka futuristik dan jelas membawa banyak perubahan pada seni reka rumah.

Kurator muzium tersebut menjelaskan bahawa Fuller telah mendapat inspirasi untuk mereka kubah tersebut selepas terpesona dengan bentuk mata lalat yang dilihatnya dalam sebuah gambar.

Seni bina kubah yang bakal dibina pada bahagian muzium tersebut jelas mampu memberikan saingan kepada kubah yang pernah direka pada sebuah muzium oleh Frank Lloyd Wright pada tahun 1950.Inovasi pada seni bina bangunan jelas sangat dialu-alukan dalam misi muzium di Amerika.

Kubah berukuran 50 kaki panjang itu diperbuat daripada kaca dan gentian kaca yang bakal dibina di kawasan berumput di sebelah barat muzium tersebut sehingga memperlihatkan penampilan seperti sebiji bola golf besar di atas rumput yang menghijau.

“Kehadiran kubah tersebut di muzium itu setentunya akan berjaya menarik perhatian para pengunjung sekaligus meningkatkan lagi keinginan diri mereka untuk melihatnya pada jarak yang lebih dekat,” jelas Dylan Turk, pembantu kurator di Crystal Bridges.

Beliau menjelaskan bahawa kehebatan seni bina kubah tersebut setentunya akan menjadi salah satu penanda aras terbaru dalam sejarah seni bina Amerika Syarikat di mana ia jelas memperlihatkan satu peringkat inovasi pada rekaan bentuk bangunan yang sangat luar biasa.

Rekaan yang dihasilkan oleh Wright dan Fuller ini jelas memperlihatkan persepektif rekaan menarik yang diinspirasikan daripada alam semula jadi.

Sebelum ini Wright telah berjaya membuka mata masyarakat dunia melalui seni bina rumahnya yang diperbuat daripada kaca terletak di Bentonville Crystal Spring sehingga berjaya menarik lebih ramai pengunjung.

Manakala rekaan Fuller pula ditampilkan dengan 61 keping kaca di mana setiap satunya berbentuk bulat dalam memberikan lambang mata untuk melihat keindahan dunia.

“Kami masih menyimpan lakaran asal kubah tersebut yang dihasilkan oleh Fuller setelah melihat satu gambar lalat di dalam sebuah surat khabar pada tahun 60an di mana beliau sendiri yang pernah menyuarakan hasrat bakal membina satu struktur yang diinspirasikan daripada mata lalat itu,” jelas Turk.

Sebanyak tiga prototaip seni bina kubah itu pernah dibina sebelum Fuller meninggal dunia pada tahun 1983.

Salah satu prototaip itu adalah berukuran 50 kaki di mana ia pernah dipamerkan sewaktu sambutan Bicentennial, Los Angeles pada tahun 1981 dan Festival Seni Kebangsaan di Toulouse, Perancis. Manakala, dua lagi prototaip pula berukuran 24 dan 12 kaki lebar.

Secara purata kebanyakan pihak termasuk media memuji seni reka bangunan yang dihasilkan oleh Fuller itu sebagai satu rekaan yang sangat moden, penuh inovasi dan sangat menakjubkan.

“Pemilihan bahan gentian kaca sebagai bahan asas kepada pembinaan kubah tersebut juga dianggap sebagai satu langkah yang sangat bijak memandangkan ia ringan, kuat dan tidak memerlukan kos perbelanjaan yang begitu tinggi,” jelas Turk.

Muzium Kesenian Amerika Crystal Bridges, Arkansas mempamerkan banyak koleksi seni yang sangat menarik.
Muzium Kesenian Amerika Crystal Bridges, Arkansas mempamerkan banyak koleksi seni yang sangat menarik.
Kubah kaca yang dinamakan sebagai Fly’s Eye adalah hasil rekaan daripada mendiang Buckminster Fuller.
Kubah kaca yang dinamakan sebagai Fly’s Eye adalah hasil rekaan daripada mendiang Buckminster Fuller.

Crystal Brideges diasaskan oleh pewaris kepada Wal-Mart, Alice Walton. Sementara seni bina muzium tersebut pula dihasilkan oleh arkitek terkemuka, Moshe Safdie.

Malangnya, Fuller meninggal dunia sebelum sempat untuk memberikan penerangan terhadap cara dan pemilihan tempat yang sesuai untuk membina kubah tersebut.

“Apa yang diharapkan adalah agar pembinaan kubah yang cuba untuk direalisasikan ini adalah sama dengan apa yang pernah dihasratkan oleh Fuller di samping itu ia juga dapat membangkitkan kembali semangat yang pernah beliau perjuangkan demi melihat reka bentuk bangunan yang segar berasaskan kemajuan teknologi,” jelas Turk.

Walaupun ia sangat jauh berbeza daripada hasil rekaan seni bina yang dihasilkan pada rumah Wright, namun seni bina kubah hasil rekaan Fuller yang bakal dibina di muzium tersebut setentunya dapat menjadi satu mercu tanda baru dalam sejarah seni bina di Amerika Syarikat.

“Cekap , berpatutan, mesra alam merupakan antara beberapa ciri yang dapat dizahirkan melalui rekaan seni bina dan kubah yang berpotensi dan cukup ideal untuk diketengahkan ini,” jelas jurucakap daripada muzium itu dalam satu kenyataan di dalam sebuah majalah.

Selain itu, pelan seni bina kubah yang dihasilkan oleh Fuller itu pula pertama kali ditemui oleh seorang ahli sejarah,Robert Rubin yang menemuinya di dalam sebuah peti pada tahun 2001 dan menggelarnya sebagai rekaan Eurocentrism.

Kubah tersebut dijangka akan dibina pada musim panas ini di bahagian taman pada muzium tersebut yang turut dihiasi dengan arca dan tumbuhan-tumbuhan lain serta sebuah pintu masuk baru.

ARTIKEL YANG SAMA