Kuching sedia lancar kempen ‘Kibar Jalur Gemilang’

Kuching sedia lancar kempen ‘Kibar Jalur Gemilang’

KUCHING, 9 Julai (Bernama) – Bandaraya Kuching sudah bersedia bagi pelancaran sambutan Bulan Merdeka dan kempen ‘Kibar Jalur Gemilang’ pada 8 Ogos.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sebagai tempat bagi pelancaran kedua-dua acara, bandar raya ini akan dilihat lebih meriah dan berwarna-warni. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem di pejabatnya dan kemudian memperkenalkan logo sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

“Kami menggalakkan semua pihak untuk mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, pejabat atau premis perniagaan masing-masing.

“Kami juga mahu hotel dan restoran menawarkan pakej khas, sama seperti bufet Ramadan yang amat popular pada bulan puasa, yang boleh dinamakan bufet Hari Kebangsaan dan sebagainya,” katanya. Menteri itu berkata dengan mengibarkan Jalur Gemilang di merata tempat, ia akan dapat meningkatkan semangat perpaduan dalam menyambut Hari Kebangsaan yang pada tahun ini bertema ‘Malaysia: Sehati Sejiwa’.

Ahmad Shabery berkata perdana menteri dijadualkan menyempurnakan pelancaran itu di Padang Merdeka, di sini. Sementara itu, beliau berkata bermula tahun ini, sambutan Hari Kebangsaan tidak menggunakan tahun bagi ulang tahunnya.

“Jika kita menamakannya Hari Merdeka ke-57 atau ke-58, sambutannya lebih kepada mereka yang berada di Semenanjung Malaysia.

“Dengan menggugurkannya (tahun ulang tahun), ia akan menjadi sambutan bagi semua di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya.