Kuching selamat, giat pemantauan

Kuching selamat, giat pemantauan

KUCHING, 19 Jan – Pemantauan keselamatan di Kuching dipertingkatkan susulan serangan pengganas di Jakarta Khamis lepas, kata Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad.

Bagaimanapun, menurut Roslan keadaan di Kuching adalah selamat dan hasil risikan mendapati tidak ada tanda-tanda ancaman daripada pihak pengganas.

Oleh itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak panik dan boleh meneruskan aktiviti harian seperti biasa.

“Bagaimanapun pemantauan akan diteruskan tetapi saya tidak akan mendedahkan strategi pemantauan kami,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di sini, hari ini.

Sementara itu Roslan melahirkan kegembiraan beliau dengan perkhidmatan cemerlang anggota di bawah jagaan beliau kerana berjaya menurunkan kadar indeks jenayah di Kuching setiap tahun sejak tahun 2009.

“Statistik indeks jenayah IPD Kuching dari tahun 2009 hingga 2015 jelas menunjukkan penurunan indeks kita buat enam tahun berturut-turut.

Saya berharap pencapaian ini akan membakar semangat kita semua untuk terus berusaha dengan lebih gigih dan ikhlas untuk mencapai KPI (pertunjuk prestasi utama) tahun 2016 ini,” katanya.

Katanya, statistik menunjukkan indeks jenayah bagi tahun 2009 di Kuching ialah sebanyak 5,653 kes tetapi menurun kepada 5,595 kes pada tahun 2010.

Statistik terus menunjukkan penurunan kepada 5,039 kes pada tahun 2011, 4,385 kes pada tahun 2012, 2,707 kes pada tahun 2013, 2,208 kes pada tahun 2015 dan 1,805 kes pada tahun 2015.

Sehubungan itu, katanya semua anggota beruniform dan pegawai awam di IPD Kuching akan diberi sijil penghargaan atas kecemerlangan mereka, di samping orang awam yang memberi kerjasama kepada pihak polis dalam pembanterasan jenayah. – Bernama