Kuiz sempena Hari AIDS Sedunia

Kuiz sempena Hari AIDS Sedunia

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Dis – Bersempena Hari AIDS Sedunia, Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) telah bekerjasama dengan Brunei Press Sdn Bhd untuk meningkatkan kesedaran mengenai HIV/AIDS melalui kuiz-kuiz Hari AIDS Sedunia dan jualan reben merah yang turut disokong bersama oleh The Body Shop Brunei dan Pusat Kecergasan JPMC.

Sehubungan dengan itu, majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang kuiz berkenaan telah diadakan hari ini di JPMC, Jerudong.

Para pemenang terdiri daripada Dayang Radhiah binti Haji Berudin, Wee Chiew Hsia, Andrew Shim, Simon Shim, Ling Mee Hee, Ting Unn Kee, Melanie Morales, Chai Siew Ching, Haji Berudin bin Haji Singgil dan Ho Yee Lin.

Setiap pemenang menerima hadiah-hadiah tajaan JPMC dan The Body Shop Brunei, yang telah disampaikan oleh Pengurus Pemasaran Komunikasi The Body Shop Brunei, Sadiqah Javerine Voon dan Penyelia Pengedaran Brunei Press Sdn Bhd, Yap Chong Siong.

Kuiz-kuiz tersebut diterbitkan di kedua-dua surat khabar Borneo Bulletin dan Media Permata yang menyediakan sebanyak 10 soalan dan hanya memerlukan jawapan betul atau salah bagi menguji pengetahuan pembaca tentang HIV/AIDS.

Para pemenang kuiz bergambar ramai bersama wakil dari JPMC, The Body Shop Brunei, Brunei Press Sdn Bhd dan Majlis AIDS Brunei Darussalam.
Para pemenang kuiz bergambar ramai bersama wakil dari JPMC, The Body Shop Brunei, Brunei Press Sdn Bhd dan Majlis AIDS Brunei Darussalam.

Sejurus selepas penyampaian hadiah kepada para pemenang, majlis turut menyaksikan penyampaian cek berjumlah $1,747 hasil daripada kutipan tabung derma dan jualan reben merah sepanjang November.

Sebanyak 546 reben telah berjaya dijual pada harga $3 setiap satu oleh JPMC, The Body Shop Brunei dan Brunei Press Sdn Bhd sebagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran tentang AIDS.

Cek disampaikan oleh Eksekutif Pemasaran JPMC, Dayang Aini Zulfa binti Haji Asbinin kepada Presiden Majlis AIDS Brunei Darussalam, Awang Iswandy bin Ahmad.

Sumbangan tersebut bertujuan untuk bantuan dan sokongan bagi Majlis AIDS Brunei Darussalam mengadakan Taklimat Program Kesedaran AIDS serta aktiviti-aktiviti yang bersesuaian.

Dayang Aini Zulfa menyerahkan cek berjumlah $1,747 hasil daripada kutipan tabung derma kepada Awang Iswandy.
Dayang Aini Zulfa menyerahkan cek berjumlah $1,747 hasil daripada kutipan tabung derma kepada Awang Iswandy.
Yap Chong Siong menyerahkan cenderahati kepada Dayang Aini Zulfa.
Yap Chong Siong menyerahkan cenderahati kepada Dayang Aini Zulfa.

Awang Iswandy telah menyampaikan penghargaan Majlis AIDS Brunei Darussalam atas penglibatan masyarakat Brunei dalam meningkatkan kesedaran mengenai HIV dan AIDS di Brunei, yang menurutnya masih banyak lagi yang perlu dilakukan.

Beliau juga memuji usaha JPMC dalam menjual reben merah berkenaan, dengan berkata “Kami menghargai JPMC di atas menganjurkan acara kesedaran itu dengan menjual reben-reben merah sempena Hari AIDS Sedunia.”

Reben merah itu merupakan simbol universal tentang kesedaran dan sokongan terhadap mereka yang menghidap HIV, seperti yang dinyatakan dalam laman web rasmi Hari AIDS Sedunia.

Dengan mengenakan reben merah itu, mesej tentang HIV/AIDS disampaikan dengan cara yang praktikal dan mudah.

Hari AIDS Sedunia disambut pada setiap 1 Disember dan dijadikan sebagai peluang untuk orang ramai di seluruh dunia berkumpul dalam memerangi HIV, menunjukkan sokongan mereka terhadap mereka yang hidup dengan HIV dan untuk memperingati orang-orang yang telah pergi.

ARTIKEL YANG SAMA