Kukuh ekonomi Brunei, Korea

Kukuh ekonomi Brunei, Korea

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Julai – Dalam usaha Negara Brunei Darussalam untuk bergerak daripada bergantung kepada industri minyak dan gas, negara telah pun memasuki fasa pembangunan ekonomi yang baru.

Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah berkata, usaha tersebut memberikan tumpuan kepada industri-industri yang boleh memanfaatkan kekuatan negara dan mempunyai keupayaan untuk mengembangkan ekonomi, menyediakan peluang pekerjaan yang berterusan, berkualiti dan berkemampuan.

Dengan memanfaatkan kekuatan negara itu, ujar beliau, Brunei Darussalam telah mengambil inisiatif strategik untuk mewujudkan pelbagai kluster pelaburan, yang termasuk produk halal; inovatif, kreatif dan teknologi industri; logistik; pelancongan dan hiliran minyak dan gas.

“Kami telah pun memperbaharui cara untuk menjalankan perniagaan dengan mengambil inisiatif dalam memastikan bahawa ekosistem perniagaan dan persekitaran adalah kondusif dan mudah untuk para start-ups dan pelabur iaitu kedua-dua pelabur tempatan dan antarabangsa.

“Kami akan berusaha untuk meningkatkan kedudukan negara di dalam ‘Ease of Doing Business,” ujar beliau yang juga selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Program Pelaburan Brunei-Korea yang telah berlangsung di Auditorium, Bangunan Reka Bentuk & Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, pagi tadi.

Antara yang hadir pada majlis tersebut.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.
Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew dan Kim Young-Sun bergambar ramai semasa Majlis Perasmian Program Pelaburan Brunei-Korea kelmarin.
Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew dan Kim Young-Sun bergambar ramai semasa Majlis Perasmian Program Pelaburan Brunei-Korea kelmarin.

Beliau seterusnya berkata, salah satu langkah yang telah pun diambil ialah memperkemaskan proses perniagaan dengan mengurangkan birokrasi dan proses birokrasi di mana pendaftaran perniagaan kini boleh dilakukan secara online dan perniagaan boleh disediakan dalam tempoh masa hanya 24 jam.

“Kami telah menubuhkan DARe bagi mempromosikan dan memantau kemajuan-kemajuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). DARe turut menawarkan program-program dalam memberikan bantuan dan meningkatkan PKS tempatan. Kami juga telah menubuhkan Pusat Sokongan Perniagaan, di mana para peniaga dapat menerima bantuan dan mendapatkan maklumat bagi perniagaan mereka.”

Melalui penambahbaikan, tekan beliau, diharap untuk meningkatkan dan menguatkan sektor swasta dalam ekonomi tempatan dan menarik lebih ramai pelabur asing di Brunei Darussalam.

Menurut beliau lagi, kerajaan Brunei Darussalam adalah sangat komited dalam menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke negara ini.

Oleh yang demikian, Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew berharap agar program dua hari tersebut akan dapat menjadi produktif yang menyediakan ruang bagi kerjasama potensi pelaburan antara pelabur dari kedua-dua buah negara.

Manakala itu, Setiausaha Agung Pusat ASEAN-Korea, Kim Young-Sun dalam ucapannya pula berkenaan, program berkenaan akan dapat membantu para peserta untuk meneroka peluang perniagaan dalam sektor bioteknologi, kosmetik dan Teknologi Info Komunikasi (ICT) dan e-commrce.

Menurutnya, Brunei mempunyai lokasi yang strategik, terletak di tengah-tengah rantau ASEAN dan beliau percaya bahawa hubungan di antara Korea dan Brunei akan meningkat ke arah kejayaan pada masa hadapan.

Program yang berlangsung hari dan esok itu merupakan anjuran bersama Pusat ASEAN-Korea bersama Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

Program berkenaan dihadiri oleh wakil-wakil daripada komuniti perniagaan, bank dan universiti tempatan, yang mana sepanjang program itu, wakil-wakil komuniti perniagaan Korea akan memberikan maklumat dan informasi terkini kepada pihak-pihak dari Brunei yang berminat untuk membuat keputusan pelaburan yang bijak.

ARTIKEL YANG SAMA