Kukuh, kekal hubungan

Kukuh, kekal hubungan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Seramai 18 pegawai dari agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan Brunei Darussalam dan Singapura telah berjaya menamatkan Program Pertukaran Tahunan Latihan Bersama Singapura-Brunei Pertama dan menerima sijil masing-masing pada majlis penutup baru-baru ini.

Majlis penutup rasmi program berkenaan telah berlangsung di Home Team Academy (HTA), Singapura, dan hadir menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Brunei Darussalam, Dato Paduka Haji Mohd Juanda bin Haji A. Rashid dan Timbalan Setiausaha (Antarabangsa) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) Singapura, T. Raja Kumar.

Dalam ucapan alu-aluannya pada majlis itu, T. Raja Kumar yang juga Ketua Eksekutif HTA telah mengiktiraf hubungan rapat yang istimewa dan berpanjangan di antara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

Oleh itu, beliau menggesa para peserta supaya mengukuhkan dan mengekalkan hubungan kukuh berkenaan.

Sebagai negara kecil di ASEAN dan di dunia, kedua-dua buah negara mempunyai ancaman dan kebimbangan bersama.

Tetamu kehormat, para tetamu dan anggota komiti bergambar ramai bersama dengan para peserta program.
Tetamu kehormat, para tetamu dan anggota komiti bergambar ramai bersama dengan para peserta program.

Oleh itu Brunei Darussalam dan Singapura kerap bekerjasama di peringkat antarabangsa dan serantau sebagai rakan strategik.

Sementara itu, Dato Paduka Haji Mohd Juanda dalam ucapannya menyatakan, walaupun kerjasama dua hala di antara JPM Brunei Darussalam dan KHEDN Singapura ini hanya bermula tahun lalu, namun perhubungan telah lama wujud dengan interaksi tetap di antara kedua-duanya pada peringkat kementerian dan jabatan-jabatan.

Menurut beliau lagi, kerjasama dua hala itu juga termasuk lawatan pertukaran tahunan di antara Bahagian Keselamatan dan Penguatkuasaan, JPM Brunei Darussalam dan KHEDN Singapura yang akan dianjurkan oleh Brunei pada tahun depan.

Antara objektif kerjasama dua hala dan program latihan ini, ujar beliau, adalah untuk memupuk kerjasama lebih rapat di antara kedua-dua buah negara, pada peringkat senior dan junior.

Ini juga akan memastikan bahawa kedua-dua buah negara mengekalkan kerjasama rapat dalam menangani isu-isu keselamatan tradisional dan bukan tradisional serta jenayah rentas sempadan, tambah beliau.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan dan Penguatkuasaan, JPM, di sini, program berkenaan telah berlangsung dari 15 hingga 20 November di Brunei Darussalam dan dari 22 hingga 27 November di Singapura.

Dalam program itu, para peserta berpeluang untuk berkongsi pengalaman operasi dalam memerangi pengganasan dan jenayah rentas sempadan, bertukar-tukar maklumat mengenai trend jenayah dan pengalaman domestik dalam menentang pengganasan, penyeludupan dadah, penyeludupan manusia, jenayah siber, pelaburan wang haram, pelanunan dan isu-isu lain seperti yang telah dipersetujui bersama kedua-dua buah negara serta meneroka peluang-peluang latihan bagi para pegawai penguatkuasaan dan agensi-agensi di kedua-dua buah negara.

Menurut kenyataan itu lagi, majlis perasmian program telah diadakan di JPM pada 16 November dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri di JPM, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar.

Sementara itu, pembukaan rasmi di Republik Singapura telah diadakan pada 23 November di HTA dan telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura, Leo Yip.

Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan Brunei Darussalam dan Singapura untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam mengukuhkan asas kolaborasi operasi dan strategik di antara JPM Brunei Darussalam dan KHEDN Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA