Kukuh penghayatan ASWJ

Kukuh penghayatan ASWJ

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Rokiah Mahmud

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt – Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) bersama Pusat Pengkajian Ahli Sunnah Wal-Jama’ah (ASWJ) serta Persatuan Siswazah KUPU SB, hari ini, telah mengadakan Bicara Ahli Sunnah Wal-Jama’ah II Tahun 1436H/2015M yang berlangsung di Dewan Tarbiyyah KUPU SB, di ibu negara.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian majlis ialah Timbalan Ra’es KUPU SB, Dr. Haji Adnan bin Haji Basar yang kemudiannya turut meninjau pameran dan jualan buku yang turut diadakan pada acara berkenaan.

Acara yang diisikan dengan pembentangan kertas kerja di dalam Bicara I dan Bicara II ini diadakan bersempena sambutan ke-45 tahun pertukaran nama Bandar Brunei menjadi Bandar Seri Begawan.

Penganjuran aktiviti akademik ini dihasratkan akan mengorak laluan kepada penubuhan satu Kursus Kefahaman ASWJ yang kini masih belum lagi dimasukkan dalam
struktur komponen kursus yang ditawarkan di KUPU SB.

Dr. Haji Adnan menyampaikan ucapan.
Dr. Haji Adnan menyampaikan ucapan.
Panel menyampaikan kertas kerja masing-masing pada majlis itu.
Panel menyampaikan kertas kerja masing-masing pada majlis itu.

Aktiviti ini boleh menyumbang kepada pembudayaan ilmu dan daya kepimpinan bagi para pelajar KUPU SB sebagai bakal guru dan diharap dengan terlaksananya Aktiviti Bicara ASWJ II ini akan dapat meningkatkan nilai tambah kepada pelajar dalam memperkasa kefahaman ASWJ dan seterusnya membentuk pelajar yang berakhlak mulia, berketerampilan serta mempunyai nilai-nilai kepimpinan yang selaras dengan ugama Islam.

Antara objektif majlis ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan mengukuhkan penghayatan terhadap kefahaman ASWJ dan amalan bermazhab dalam kalangan warga KUPU SB terutamanya para pelajar.

Selain daripada itu, ia merupakan platform untuk memberikan panduan kepada pelajar dalam menghadapi pemikiran-pemikiran, ajaran dan pelbagai fahaman yang bercanggah dengan ASWJ dan menjadi wadah analisis kepada cabaran dan isu semasa yang berkaitan dengan amalan bermazhab dari sudut aqidah dan syariah yang
dihadapi oleh masyarakat Brunei dan umat Islam sekarang ini.

ARTIKEL YANG SAMA