Kukuhkan akidah pelajar

Kukuhkan akidah pelajar

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Bagi memberi peluang kepada guru-guru dan pelajar membesarkan hari-hari yang dianggap penting dalam Islam, Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB) telah mengadakan Sambutan Israk Mikraj 1437H yang berlangsung di Dewan Kuliah sekolah berkenaan, hari ini.

Hadir pada majlis yang dikendalikan di bawah Jabatan Pengetahuan Ugama Islam, SM YSHHB dengan kerjasama semua guru dari jabatan-jabatan lain itu ialah Pengetua SM YSHHB, Chong Li Chen.

Majlis telah diisikan dengan bacaan Al-Quran oleh salah seorang pelajar dan persembahan keagamaan oleh pelajar-pelajar perempuan Tahun 7 manakala itu, kemuncak acara ialah ceramah sempena Israk Mikraj yang telah disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Ali Hassan bin Mohd Said, dengan membawa tajuk ‘Penyelewengan Akidah’.

Dalam ceramahnya, Awang Ali Hassan telah banyak menyentuh mengenai sejarah ajaran sesat, ciri-cirinya, dan bentuk-bentuknya.

Selain itu, beliau juga menekankan mengenai akibat terlibat dengan ajaran sesat di mana ia boleh menggugat akidah dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang selama ini dijadikan pegangan hidup.

Awang Ali Hassan ketika menyampaikan ceramah sempena Sambutan Israk Mikraj.
Awang Ali Hassan ketika menyampaikan ceramah sempena Sambutan Israk Mikraj.
Persembahan nasyid daripada para pelajar menyerikan lagi Sambutan Israk Mikraj.
Persembahan nasyid daripada para pelajar menyerikan lagi Sambutan Israk Mikraj.

Ia juga boleh menyebabkan perpecahan dalam masyarakat Islam, menimbulkan pelbagai keganasan dalam masyarakat dan juga mencetuskan keretakan rumah tangga.

Selain ceramah tersebut, para pelajar juga dapat menyaksikan pameran barang-barang yang ditapis dan dilarang oleh Pusat Dakwah Islamiah daripada dibawa masuk ke Negara Brunei Darussalam kerana memiliki unsur-unsur yang boleh menyelewengkan akidah umat Islam.

Antara lain tujuan majlis berkenaan adalah untuk mengukuhkan lagi akidah para pelajar, di samping bersama-sama pihak kerajaan membasmi penyelewengan akidah di negara ini.

Selain itu, para pelajar juga dapat mengetahui dengan lebih jelas tentang ajaran-ajaran sesat dan kepercayaan khurafat yang biasa diamalkan di negara ini.

Sambutan Israk Mikraj merupakan salah satu hari-hari kebesaran Islam yang disambut pada setiap tahun oleh SM YSHHB.

ARTIKEL YANG SAMA