Kukuhkan institusi kekeluargaan

Kukuhkan institusi kekeluargaan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 April – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) mencatatkan peningkatan mendadak melebihi sekali ganda dalam pendaftaran perceraian sepanjang 2015 di negara ini, iaitu sebanyak 524 berbanding 259 kes yang dicatat pada 2014.

Turut membimbangkan ialah perangkaan mengenai jumlah kes remaja sukar dikawal yang dikendalikan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) yang mencatat sebanyak 42 kes pada 2015 berbanding 38 kes sepanjang 2014.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof (gambar) ketika berucap pada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2016, yang berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, hari ini.

Hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha tetap, ketua jabatan, pengarah serta wakil sektor swasta dan organisasi bukan kerajaan, sebagai mencerminkan pendekatan keseluruhan negara dan masyarakat dalam sambutan Hari Keluarga Kebangsaan pada tahun ini.

Sejak sambutan bermula pada 2012, setiap Ahad pertama pada bulan Mei setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Keluarga Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan tema sambutan pada tahun ini ialah ‘Keluarga Berwawasan’.

pg01_160405_a

Dalam ucapannya, Yang Berhormat Pehin juga meluahkan rasa bimbang terhadap penganiayaan dan pengabaian keluarga yang tersebar melalui media sosial seperti kes penderaan kanak-kanak oleh ibu bapa yang menyalahgunakan dadah, kes kanak-kanak kurang upaya yang terabai dan juga kes pembuangan anak damit.

“Walaupun pihak yang berkepentingan telah menjalankan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam membawa pesalah ini ke muka pengadilan, dan memberikan perlindungan kepada mangsa kanak-kanak yang terlibat, namun tindakan yang reaktif sahaja tidak akan dapat memperbaiki ataupun mengurangkan masalah sosial yang semakin mencabar dewasa ini,” kata beliau.

Beliau menjelaskan, melalui hala tuju yang diberikan oleh Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS), format sambutan Hari Keluarga Kebangsaan telah dikaji semula dengan memberi fokus kepada penerapan nilai-nilai kekeluargaan yang meliputi kesejahteraan dan fungsi sebuah keluarga.

Sehubungan itu, format sambutan Hari Keluarga Kebangsaan pada tahun ini telah diteliti semula untuk memastikan keberkesanan dan objektif-objektifnya dapat dicapai, terutama dalam kalangan keluarga-keluarga sasaran.

Ujarnya, kesepakatan itu telah dicapai setelah mengambil kira saranan pelbagai pihak berkepentingan seperti Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS), ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) sewaktu bermuzakarah dengan KKBS dan juga semasa Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-12 MMN, baru-baru ini.

Ke arah itu, dengan mengekalkan tema yang ada maka penekanan akan difokuskan kepada meningkatkan penglibatan dan sumbangan institusi kekeluargaan di Negara Brunei Darussalam ke arah Wawasan 2035, penghayatan konsep Melayu Islam Beraja dan mewujudkan sebuah Negara Zikir.

Beliau menjelaskan, seperti di negara lain, masyarakat negara ini juga tidak terkecuali daripada menghadapi pelbagai cabaran atau masalah sosial disebabkan oleh kerapuhan institusi keluarga.

Kes-kes perceraian, keganasan rumah tangga, pengabaian keluarga dan warga tua, keruntuhan akhlak anak-anak seperti kanak-kanak yang lari dari rumah dan yang sukar dikawal merupakan manifestasi kelemahan institusi keluarga.

Beliau seterusnya berkata, memandangkan masalah sosial yang berbangkit daripada kelemahan institusi keluarga itu merupakan isu nasional maka tanggungjawab bagi menangani masalah ini seawal dan sesegera yang mungkin perlu dipikul bersama.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menyeru semua pihak sama ada secara kumpulan atau individu supaya berganding bahu dan bekerjasama bukan sahaja untuk merawat tetapi juga untuk mencegahnya.

Beliau berpendapat sambutan Hari Keluarga Kebangsaan merupakan salah satu mekanisme atau wadah pencegahan peringkat nasional yang boleh diguna pakai untuk mencerminkan penglibatan dan komitmen tinggi daripada semua lapisan masyarakat termasuk sektor swasta melalui tanggungjawab sosial korporat mereka.

Ini juga selaras dengan kaedah pendekatan keseluruhan negara dan masyarakat (whole of nation and whole of society approach) serta selaras dengan Matlamat Wawasan Brunei 2035.

“Mengenai program yang akan mengisi acara Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2016 pada tahun ini, kita perlu memantapkan lagi program dan kegiatan yang akan diadakan dengan mengambil kira isu-isu sosial yang dihadapi oleh masyarakat masa kini dan bagaimana institusi keluarga dapat menyumbang secara positif kepada pencapaian Wawasan Negara 2035, penghayatan konsep Melayu Islam Beraja dan Negara Zikir,” beliau menyarankan.

Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau berharap supaya semua pihak terus memberikan komitmen serta kerjasama yang bersepadu terutama dalam mengendalikan acara sambutan itu.

ARTIKEL YANG SAMA