Kukuhkan institusi keluarga

Kukuhkan institusi keluarga

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Institusi sesebuah keluarga adalah wajar dan mesti diperkukuhkan kerana kalau tidak ia akan menjadi hancur, menjadi sebuah keluarga yang malang, tidak bernasib baik dan tidak bahagia.

Islam sendiri tidak mahu keluarga berantakan, justeru perkara memilih suami dan isteri sangat-sangat diambil berat oleh agama supaya pasangan tersebut kekal bahagia.

Mufti Kerajaan Brunei, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned (gambar) berkata, semua orang mengimpikan kebahagiaan di dalam sebuah keluarga, malah Islam sendiri telah pun menunjukkan jalan atau memberi panduan untuk mencapai kebahagiaan.

“Tetapi kita cuai, tidak mengambil berat terhadapnya. Kita lebih gemar memilih ‘gaya’ sendiri-sendiri, tanpa menghiraukan petunjuk atau panduan itu. Lalu kerananya jadilah kehidupan ini satu musibah dan keluarga berantakan,” kata beliau semasa menyampaikan Ceramah Perdana Pengukuhan Institusi Keluarga bersempena dengan Hari Keluarga Kebangsaan 2016 yang berlangsung di Dewan Teater Utama, Bangunan Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Yang Berhormat Pehin, Islam telah menunjukkan bagaimana membina keluarga iaitu sama seperti membina sebuah rumah yang dimulakan dengan mencari tapak yang baik dan kemudian dilihat pula bahan-bahan binaannya.

pg01_160502_a

Katanya, tapak itu ialah pasangan suami isteri iaitu wadah dalam melahirkan keturunan dan keturunan itu diibaratkan sebagai tumbuh-tumbuhan kerana dari tapak yang baik akan tumbuh benih yang baik pula.

Perkara memilih isteri dan suami ini adalah sangat diambil berat oleh Islam kerana Islam mahu agar pasangan-pasangan ini kekal bahagia dan supaya keluarga atau rumah tangga mereka yang dibina kekal kukuh.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan bahawa rumah tangga yang selamat dan bahagia adalah rumah tangga yang tidak ada perang di dalamnya, yang tidak ada konfrantasi dan gelombang besar iaitu mempunyai akidah, iman dan pegangan agama yang kukuh.

Jika tidak, sesebuah keluarga itu akan mudah hancur.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, keruntuhan rumah tangga umat Islam tidak boleh dipandang ringan kerana akibatnya adalah sangat buruk.

Rumah tangga yang runtuh, tegasnya bukan sahaja ia sendiri yang runtuh, bahkan kesannya juga boleh menimpa generasi-generasi yang ada dan jika generasi itu terjejas bermakna bangsa dan umat juga akan terjejas.

Yang Berhormat Pehin dalam ceramahnya menyatakan bahawa perceraian di Negara Brunei Darussalam adalah membimbangkan dan menurut Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, peningkatan perceraian dilihat mendadak.

Pada tahun 2014, sebanyak 259 kes telah pun dicatatkan dan ia meningkat pada tahun 2015 kepada 524 kes.

Sehubungan dengan itu, ke arah untuk memperkukuhkan institusi keluarga, keluarga haruslah merancang dengan rancangan-rancangan praktikal iaitu dengan memperbaiki keadaan, menumpukan usaha untuk mencegah peningkatan itu daripada terus berlaku.

Yang Berhormat Pehin menegaskan, untuk mengelakkan ini berlaku, kita haruslah memakai ‘cara ketuhanan’ di mana keluarga meminta rujuk kepada Allah S.W.T dengan memakai kaedah dan disiplin ketuhanan iaitu dengan mengembangkan dakwah dan nasihat.

Katanya, adapun ‘Jalan Tuhan’ itu ialah semua yang bernama kebajikan, termasuk adil, ihsan, kasih sayang dalam rumah tangga, anak-anak berbakti, sopan dan hormat kepada ibu bapa, mengikut nasihat, tidak melawan dan tidak menderhakai ibu bapa.

Menurut beliau, bermacam-macam cara atau saluran dakwah dan nasihat bagi mengubati penyakit masyarakat dan keluarga itu, antaranya paling mustahak dan berkesan ialah dakwah melalui pendidikan dan dakwah umum melalui kaunseling, ceramah motivasi, kuliah-kuliah, dokumentari filem, melalui mimbar, rancangan-rancangan khas di televisyen dan sebagainya.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa anak-anak adalah juga berperanan sangat besar dalam rumah tangga kerana mereka haruslah taat dan hormat kepada ibu bapa mereka dan jika mereka menjadi anak derhaka maka membawa padah derhaka di dalam keluarga tersebut.

“Oleh itu, berusahalah kita supaya jangan sekali-kali terjebak kepada perbuatan derhaka. Perbuatan derhaka itu banyak, tidak terbatas hanya kepada mengikat atau menambat ibu bapa.

“Mengikat atau menambat itu sudah sangat teruk malah Al-Quran mengingatkan hanya setakat berkata-kata yang boleh menyinggung atau melukakan perasaan ibu bapa, walaupun sekadar perkataan “ah!” sahaja, apatah lagi menengking semua itu sudah jadi derhaka jika dibuat.”

Yang Berhormat Pehin berkata, anak-anak yang baik cukup berhati-hati mengawal diri mereka supaya tidak terjatuh ke dalam perangkap derhaka ini.

Beliau seterusnya memperingatkan bahawa doa ibu adalah hebat, makbul dan tidak ada lapisan atau dinding di antaranya dengan Allah S.W.T.

ARTIKEL YANG SAMA