Kukuhkan koordinasi bendung jenayah rentas sempadan di Esszone

Kukuhkan koordinasi bendung jenayah rentas sempadan di Esszone

KOTA KINABALU, 2 Okt – Koordinasi antara Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dengan semua pihak berkepentingan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) perlu diperkukuh bagi membendung insiden jenayah rentas sempadan, termasuk penculikan untuk wang tebusan, di kawasan perairan berkenaan.

Pensyarah Kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Zaini Othman berkata sikap menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada ESSCom untuk menggalas tugas menjaga keselamatan di ESSZOne perlu diubah bagi memastikan keberkesanan usaha memelihara ketenteraman di kawasan itu.

“Untuk menangani masalah keselamatan di Sabah, kita harus ingat ESSCom ini hanyalah langkah mekanikal (yang diambil kerajaan). Masyarakat harus faham, sebenarnya semua ini cuma langkah pencegahan.

“Sudah ada langkah ‘substance’ yang diambil pihak pemerintah untuk menangani masalah ini,” katanya kepada Bernama ketika menjelaskan mengenai kekerapan berlakunya kes culik di ESSZOne pada tahun ini.

Kes penculikan terbaru tahun ini berlaku pada 27 Sept lalu melibatkan seorang nelayan yang juga pemilik bot nelayan pukat tunda, Ruslan Sarapin, 39, di perairan Pulau Gaya, Semporna. Dia bagaimanapun telah dibebaskan dan tiba di Lahad Datu pada 7 pagi semalam.

Menjelaskan langkah mekanikal berkenaan, Dr Zaini berkata kerajaan melalui ESSCom sudah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk meningkatkan kawalan keselamatan di ESSZone termasuk pembelian aset namun ia tidak memadai tanpa sokongan semua pihak.

Beliau berkata corak penculikan yang berlaku di Sabah selama ini ialah pad waktu malam dan aturan ESSCom ialah waktu berkenaan berkuat kuasanya perintah berkurung namun nelayan masih juga keluar menangkap ikan pada waktu itu.

“Kalau keluar juga pada waktu malam, risikonya bagaimana? Kalau keluar juga, maknanya ada anggota masyarakat yang melanggar peraturan perintah berkurung. Jadi, harus beri kerjasamalah,” katanya.

Beliau berkata nasihat Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun supaya masyarakat nelayan, khususnya di kawasan ESSZone, memasang Sistem Pemantauan Automatik di bot masing-masing juga perlu dipatuhi golongan itu demi keselamatan sendiri.

Menurutnya jika masyarakat nelayan mematuhi nasihat keselamatan seperti itu ia boleh dianggap sebagai satu sokongan kepada pihak ESSCom dalam meningkatkan tahap keselamatan di ESSZone dan persatuan nelayan perlu memainkan peranan aktif bagi mewujudkan koordinasi seperti itu.

“Rondaan bersama pasukan keselamatan Malaysia, Indonesia dan Filipina yang akan dimeterai merupakan satu lagi langkah mekanikal yang diharap boleh mengurangkan kejadian jenayah rentas sempadan di kawasan perairan Laut Sulu,” katanya. – Bernama