Kukuhkan tindakan kolektif

Kukuhkan tindakan kolektif

NEW YORK, 27 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin, berkenan berangkat menghadiri Sesi Plenari Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Menerima Pakai Agenda Pembangunan Pasca-2015 yang berlangsung di General Assembly Hall, Ibu Pejabat PBB, New York, Amerika Syarikat.

Semasa berkenan mengurniakan titah pada sesi tersebut, Baginda Sultan menyatakan sokongan Baginda terhadap Agenda Pembangunan Pasca-2015 dan melahirkan keyakinan terhadap kejayaannya.

Menyentuh mengenai Matlamat Pembangunan Milenium (MDGs), Baginda melahirkan kegembiraan atas pencapaiannya setakat ini, sejak Sidang Kemuncak Milenium yang diadakan pada tahun 2000.

Dunia, tambah Baginda, telah menyaksikan pengurangan kemiskinan ekstrem, peningkatan akses kepada pendidikan rendah di rantau yang sedang membangun, dan peningkatan kepada penjagaan kesihatan kanak-kanak dan wanita.

Baginda bertitah, ini menunjukkan pendekatan berorientasikan sasaran yang telah diambil adalah praktikal dan boleh dilaksanakan. Pada masa yang sama, pencapaian kemajuan yang tidak seimbang di seluruh dunia diambil maklum dan ia menunjukkan bahawa banyak lagi kerja yang perlu dilaksanakan.

Baginda Sultan menyampaikan titah semasa Sesi Plenari Sidang Kemuncak PBB semalam. - Infofoto
Baginda Sultan menyampaikan titah semasa Sesi Plenari Sidang Kemuncak PBB semalam. – Infofoto
Baginda Sultan ketika menyampaikan titah semasa Sesi Plenari Sidang Kemuncak PBB di General Assembly Hall, Ibu Pejabat PBB, di New York. – Infofoto
Baginda Sultan ketika menyampaikan titah semasa Sesi Plenari Sidang Kemuncak PBB di General Assembly Hall, Ibu Pejabat PBB, di New York. – Infofoto
Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman semasa menghadiri Sesi Plenari Sidang Kemuncak PBB semalam. - Infofoto
Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman semasa menghadiri Sesi Plenari Sidang Kemuncak PBB semalam. – Infofoto

Oleh itu, Baginda melahirkan rasa gembira atas agenda pembangunan baru yang dikongsi bersama oleh Setiausaha Agung PBB, Tuan Yang Terutama Ban Ki-moon yang meliputi sasaran-sasaran lanjutan daripada MDGs serta pengenalan objektif-objektif baru bagi menangani jurang-jurang yang dikenal pasti selama 15 tahun ini.

Baginda seterusnya menambah bahawa apa yang lebih meyakinkan ialah Matlamat Pembangunan Mapan (SDGs), yang baru sahaja dilancarkan, menumpukan kepada masyarakat, inklusif dan menyeluruh. Ia memfokuskan kepada masyarakat, planet, kesejahteraan, kedamaian, dan perkongsian.

Untuk mencapai matlamat-matlamat tersebut, Baginda menyeru supaya setiap negara mengukuhkan lagi tindakan-tindakan individu dan kolektif, membina kerjasama melalui pembangunan kapasiti, belajar daripada pengalaman-pengalaman masing-masing, dan berkongsi amalan-amalan terbaik.

Setiap negara, tekan Baginda lagi, mempunyai tugas-tugas yang mencabar pada masa hadapan, walau bagaimanapun, Baginda merasa optimistik bahawa dengan komitmen yang padu, setiap negara akan mampu mencapai hasil yang dihasratkan.

Sesi berkenaan telah dipengerusikan oleh Presiden Uganda, Tuan Yang Terutama Yoweri Museveni dan Perdana Menteri Denmark, Tuan Yang Terutama Lars Lokke Rasmussen.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Kewangan II (Kedua) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng; dan Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke PBB, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Abdul Ghafar bin Haji Ismail.

ARTIKEL YANG SAMA