Kuliah Khas mantapkan pemahaman MIB

Kuliah Khas mantapkan pemahaman MIB

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Salah satu perkara penting dalam melahirkan generasi berwawasan ialah menerusi pendidikan, di mana mahasiswa mempunyai peranan penting untuk meneruskan kesinambungan wawasan yang ada pada masa ini untuk diteruskan pada masa akan datang.

Manakala untuk melahirkan generasi berwawasan itu pula bukanlah satu tugas yang mudah dan senang, di mana perkataan berwawasan membawa makna yang besar dan mesti dilaksanakan, kerana jika tidak, ia akan mendatangkan kerugian kepada negara.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar semasa menyampaikan Kuliah Khas MIB yang bertajuk ‘Pendidikan Melayu Islam Beraja: Ke Arah Melahirkan Generasi Berwawasan’, yang diadakan di Dewan Auditorium, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini.

Pada kuliah tersebut, beliau seterusnya menjelaskan bahawa belia dalam generasi masa kini akan mewarisi masa depan negara dan dipertanggungjawabkan untuk terus memajukan negara dalam semua aspek.

Generasi bermaksud pewaris negara dan selaku peneraju kepada kemajuan negara bagi mencapai Wawasan Negara 2035, manakala wawasan pula ditakrifkan sebagai satu matlamat untuk mencapai hasrat negara.

Timbalan Menteri Pendidikan menyampaikan ceramah beliau pada Kuliah Khas MIB anjuran UNISSA.
Timbalan Menteri Pendidikan menyampaikan ceramah beliau pada Kuliah Khas MIB anjuran UNISSA.

Justeru, beliau menyeru kepada para belia supaya dapat mengubah daya pemikiran dan menanamkan sifat mandiri ke arah sama-sama membantu dalam memartabatkan Negara Brunei Darussalam.

Selain itu, jelasnya juga, pendidikan merupakan teras kepada melahirkan generasi berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya dengan kualiti hidup tinggi, di samping memainkan peranan yang sangat besar dalam memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat dan penduduk negara ini.

Konsep Melayu Islam Beraja (MIB) yang diamalkan di negara ini sejak pemerintahan sultan terdahulu hingga sekarang adalah sangat teguh.

Ini terbukti apabila pendidikan MIB bukan sahaja dijadikan sebagai mata pelajaran yang diajarkan kepada generasi yang baru, tetapi ia turut diamalkan dalam kehidupan seharian oleh orang-orang Brunei sehingga kini.

Melihat kepada kepentingan tersebut, UNISSA sebagai penganjur kuliah khas tersebut berharap melaluinya, ia dapat memberi kefahaman kepada setiap mahasiswa mengenai pengertian sebenar MIB dengan penekanan kedudukannya sebagai falsafah negara.

Di samping, ia juga mampu memupuk dan menyemai moral yang terpuji bagi membina akhlak mulia, berbudi bahasa, taat kepada raja dan berpegang teguh dengan agama Islam.

UNISSA melihat pentingnya MIB dan berharap ia dapat memberi kefahaman kepada setiap mahasiswa mengenai pengertian MIB dengan menekankan kedudukannya sebagai falsafah Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA