Kuliah khas tingkat kefahaman MIB

Kuliah khas tingkat kefahaman MIB

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Seramai 189 orang mahasiswa dan mahasiswi Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah didedahkan dan diberi tunjuk ajar mengenai adat istiadat termasuk tatacara betul menggunakan Bahasa Dalam, Terasul dan sebagainya dalam Kuliah Khas Kursus Melayu Islam Beraja.

Taklimat bertajuk ‘Adat Istiadat Mendukung Keharmonian dan Memangkin Pembangunan’ dalam kuliah yang berlangsung di Dewan Jubli, UNISSA, pagi tadi itu telah disampaikan Penolong Yang Di-Pertuan Adat Istiadat, Jabatan Adat Istiadat Negara, Pengiran Dr Hidup bin Pengiran Haji Samsuddin.

Beliau dalam taklimatnya, menjelaskan bahawa adat istiadat bukanlah peraturan yang beku, bahkan terus hidup subur dan berkembang dengan mana-mana unsur kebudayaan lain serta unsur-unsur kemajuan yang sesuai dengan keperibadian orang Brunei.

Pengiran Dr Hidup ketika memberi penerangan.
Pengiran Dr Hidup ketika memberi penerangan.
Para pelajar UNISSA ketika mendengarkan penerangan mengenai adat istiadat Brunei.
Para pelajar UNISSA ketika mendengarkan penerangan mengenai adat istiadat Brunei.

Pengiran Dr Hidup berkata, adat yang diamalkan adalah warisan daripada datuk nenek sejak dahulu lagi, dan ketahanan adat yang berlangsung hingga sekarang merupakan lambang ketamadunan bangsa Melayu Brunei yang tinggi.

Menurutnya, adat istiadat terbukti boleh melawan arus zaman, misalnya istiadat berpuspa, pemasyhuran dan Istiadat Menggelar Pembesar Diraja.

Sebagai orang beradat, katanya, masyarakat Melayu Brunei sentiasa menjaga adab dalam pergaulan, selain itu, adab menjadikan setiap orang memiliki harga diri yang perlu mendapat perhatian dan ini menjadikan mereka merasa sama mendapat tempat dalam masyarakat.

ARTIKEL YANG SAMA