Kumpul barang untuk SMARTER

Kumpul barang untuk SMARTER

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jan – Dalam usaha membantu SMARTER Brunei mengumpul dana bagi pusat itu, Brunei Press Sdn Bhd di bawah Program Reach Out tidak ketinggalan bersama-sama mengumpulkan barangan yang akan diserahkan kepada pusat itu untuk jualan amal hujung minggu ini.

Pengumpulan barangan diadakan hari ini dan esok itu bertujuan berbakti kepada masyarakat dan membantu mereka yang memerlukan.

Antara barangan yang dikumpulkan warga Brunei Press termasuklah barangan terpakai atau baru yang merangkumi baju, perabot, barangan elektrik, mainan, buku-buku dan peralatan sekolah.

Barangan ini akan dijual dalam Jualan Garaj Amal pada 30 hingga 31 Januari ini yang merupakan usaha amal ketiga untuk membiayai dana pertubuhan itu.

Antara barangan yang disumbangkan warga Brunei Press.
Antara barangan yang disumbangkan warga Brunei Press.

Menurut SMARTER, ia memerlukan dana secara puratanya $50,000 sebulan untuk membiayai operasi ketiga-tiga pusatnya dan menyediakan program-program untuk 115 warga pusatnya yang menghadapi autisme.

Ia juga berharap orang ramai sama-sama membantu menghulurkan sumbangan dan menderma barangan yang ingin mereka jual serta menyokong jualan amal itu kelak.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan, bolehlah menghantar ke Pusat SMARTER di BACA Centre, No.822, Spg 822, Kg Jangsak atau hubungi 2654812 atau di EDGE Centre, Jalan Seri Setia Satu, Kg Perpindahan Mata-Mata atau hubungi 2420225 atau di EDGE Centre Kuala Belait, Simpang 7, Jalan Mackerron, Kuala Belait.

SMARTER Brunei juga menawarkan perkhidmatan mengambil barangan yang ingin disumbangkan dan untuk keterangan lanjut mengenainya bolehlah menghubungi mana-mana nombor di pusat masing-masing atau di talian 7172997 selepas waktu pejabat.

ARTIKEL YANG SAMA