Kumpul dana bantu YASKA

Kumpul dana bantu YASKA

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Sebagai usaha memberi sokongan dan bantuan kepada Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA), Fun Bee Park dan AI Saloon akan menganjurkan kempen mengumpul dana dengan tema ‘Ark Walk & Fantastic Fun Fair’ pada 6 Mac depan.

Menjelaskan mengenai kempen berkenaan semasa sidang media di Fun Bee Park Batu Bersurat, hari ini, Pengarah Kreatif Fun Bee Park, Cecilia Lee berkata ia bertujuan menggalakkan komuniti di Negara Brunei Darussalam dan ahli keluarga bagi sama-sama memberi sokongan kepada mereka terutamanya kanak-kanak yang menghidapi penyakit kanser, agar kehidupan mereka lebih ceria, bermakna dan penuh dengan kegembiraan.

Beliau turut menerangkan program akan diadakan dari pukul 9 pagi hingga 4 petang di Fun Bee Park.

Sean Chai ketika menunjukkan persembahan seni pasir.
Sean Chai ketika menunjukkan persembahan seni pasir.
Cecilia Lee ketika memberikan penerangan semasa sidang media tersebut.
Cecilia Lee ketika memberikan penerangan semasa sidang media tersebut.

Ia akan diisi dengan aktiviti dalam dan luar bangunan seperti galeri seni oleh Merrick Chin yang merupakan seorang kanak-kanak Down Syndrom, galeri seni oleh Fun Bee Park yang mempersembahkan pameran seni hasil Syaifuddib Udin, persembahan seni pasir oleh artis pasir dari Korea, Sean Chai dan banyak lagi.

Perasmian kempen dijangka akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman selaku tetamu kehormat.

Turut dijangka hadir ialah Duta Besar Turki ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Fikret Oguz Ates dan Duta Besar Filipina ke Brunei Darussalam, TYT Meynardo LB. Montealegre.

Menurut Fun Bee Park, hasil daripada kempen berkenaan akan diserahkan kepada YASKA.

ARTIKEL YANG SAMA