Kumpulan Bank...

Kumpulan Bank Baiduri raikan pelanggan di Belait

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 16 Feb – Kumpulan Bank Baiduri meraikan Sambutan Tahun Baru Cina 2017 bersama para pelanggan dan rakan-rakan perniagaannya di Daerah Belait pada majlis yang diadakan di Dewan Pusat Insani, di sini.

Majlis tersebut diadakan untuk mengeratkan lagi hubungan antara pihak bank dengan kalangan pelanggan dan klien korporat bagi kawasan Seria dan Kuala Belait yang telah memainkan peranan ke arah kejayaan Kumpulan Bank Baiduri.

Dengan membawakan konsep Rumah Terbuka, majlis turut menghiburkan tetamu-tetamunya dengan beberapa persembahan menarik oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan dan Kuala Belait.

Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pierre Imhof merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang hadir terutamanya kalangan pelanggan dan rakan perniagaan atas sokongan berterusan diberikan sepanjang tahun.

Pierre Imhof, bergambar bersama wakil-wakil sekolah yang menerima sumbangan daripada Kumpulan Bank Baiduri.
Pierre Imhof, bergambar bersama wakil-wakil sekolah yang menerima sumbangan daripada Kumpulan Bank Baiduri.

Beliau berkata, walaupun keadaan ekonomi agak sukar sekarang beliau percaya ada banyak peluang bagi perniagaan dan kumpulan bank itu berkembang apabila usaha mempelbagaikan ekonomi di negara ini semakin rancak dan perniagaan tempatan semakin berkembang sambil memberitahu mengenai beberapa perancangan hebat tidak lama lagi.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan daripada Kumpulan Bank Baiduri bagi membantu pelajar-pelajar yang memerlukan di daerah ini yang disempurnakan sendiri oleh Pierre Imhof kepada wakil-wakil sekolah yang menerima antaranya Sekolah St Margaret, Sekolah St Angela, Sekolah Menengah Chung Ching, Sekolah St John dan Sekolah Menengah Chung Hwa, Kuala Belait.