Kumpulan belia sertai World Quran Hour

Kumpulan belia sertai World Quran Hour

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 11 Sept – Sebagai salah satu usaha mengagungkan Al-Quran, Program World Quran Hour diadakan di seluruh dunia termasuklah di negara ini dan Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong turut tidak ketinggalan mengadakan program seumpamanya.

Diadakan di masjid berkenaan, pagi tadi, program berkenaan dikelolakan oleh Kumpulan Belia ‘Ibadurrahman Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong.

Ketua Kumpulan Belia ‘Ibadurrahman, Awang Mohammad Azlin bin Azlani ketika ditemu bual berkata, lebih 100 orang peserta yang terdiri daripada belia dan beliawanis ‘Ibadurrahman bersama orang ramai mengikuti serta menjayakan program tersebut.

Beliau melahirkan harapan agar program berkenaan akan dapat memupuk belia untuk cintakan Al-Quran dan seterusnya merealisasikan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.

Sebagaimana daripada Yusuf Al-Qaradawi, untuk melihat masa depan sebuah negara itu, kita lihat keadaan belia pada masa ini, katanya.

Program World Quran Hour yang dijalankan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, kelmarin.
Program World Quran Hour yang dijalankan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, kelmarin.
Mereka yang terlibat di dalam Program World Quran Hour bergambar ramai di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.
Mereka yang terlibat di dalam Program World Quran Hour bergambar ramai di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.

Awang Mohammad Azlin juga menambah bahawa Program World Quran Hour yang pertama kali diadakan ini adalah bertepatan dengan sempena Sambutan Jubli Emas penubuhan Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong ke-50 tahun yang mana program tersebut bertujuan dapat mengimarahkan masjid tersebut.

World Quran Hour merupakan kempen membaca Al-Quran beramai-ramai selama sejam di seluruh dunia pada 9 Zulhijjah setiap tahun, bermula pada pukul 9 pagi sehingga 10 pagi di tempat masing-masing mengikut waktu setempat.

Program berkenaan dilaksanakan bertepatan dengan waktu wukuf di Arafah, di mana umat Islam disarankan untuk memperbanyakkan ibadah dalam 10 hari terawal dalam bulan Zulhijjah.

Ia juga dilaksanakan sebagai satu usaha untuk menyatukan umat Islam di seluruh dunia melalui membaca, memahami dan mengamalkan Al-Quran dan seterusnya melahirkan ummah yang kerangka fikir dan akhlaknya berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

Antara acara yang dijalankan pagi tadi ialah menunaikan sembahyang sunat Hajat berjemaah, diikuti dengan penerangan ringkas mengenai World Quran Hour dan bacaan Tilawah Al-Quran yang dimulakan oleh imam Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong bersama orang ramai yang hadir.

Objektif acara ini diadakan adalah untuk memberikan sokongan dan sambutan baik terhadap program yang dianjurkan bagi seluruh dunia itu selain menjadikan inisiatif sebagai mengajak masyarakat agar berinteraksi dengan Al-Quran dan mewujudkan suasana yang kondusif bagi pembangunan rohaniah para belia.