Kumpulan D-8 sasar AS$500 bilion menjelang 2018

Kumpulan D-8 sasar AS$500 bilion menjelang 2018

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) – Perdagangan di kalangan anggota Lapan Negara Membangun (D-8) dijangka mencecah AS$500 bilion (AS$1 = RM4.15) pada 2018, didorong oleh kerjasama dalam kalangan mereka.

D-8 merupakan satu kumpulan antara kerajaan yang terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata sasaran itu ditetapkan pada Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri D-8 yang pertama mengenai Perjanjian Keutamaan Perdagangan di Abuja pada Jun 2013.

Tahun lepas, perdagangan intra D-8 berjumlah AS$121.8 bilion.

“Kami masih jauh daripada mencapai sasaran walaupun angka yang menggalakkan. Tetapi saya percaya melalui kerjasama di kalangan D-8 dalam sektor pelancongan serta perusahaan kecil dan sederhana, ia boleh dicapai memandangkan sektor ini mewakili 98 peratus dalam perniagaan yang didaftarkan dalam D-8.

“Oleh sebab itu, saya ingin menggesa kerajaan dan sektor swasta D-8 untuk memberi tumpuan kepada mengenal pasti langkah-langkah yang boleh mengukuhkan kerjasama kami dalam bidang perdagangan dan pelaburan,” kata beliau pada Persidangan Dewan Perniagaan dan Industri D-8 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Anifah berkata industri pelancongan, terutamanya dalam pelancongan Islam, harus dilihat sebagai pemacu utama bagi pembangunan dan pertumbuhan ekonomi dari negara-negara D-8.

Beliau berkata jumlah ketibaan pelancong di negara D-8 berkembang pada purata kadar tahunan sebanyak 4.7 peratus setahun.

“Sektor swasta boleh mendapat manfaat daripada peningkatan industri pelancongan dan potensi pelancongan Islam yang tinggi dengan melibatkan diri di dalam promosi dan pemasaran bersama,” kata Anifah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Dewan Perniagaan dan Industri D-8, Sayed Ali Mohammad Mousavi, berkata dewan itu mahu mencapai jumlah perdagangan sebanyak AS$150 bilion tahun ini.

“Sekarang ini, kami mencatatkan kira-kira AS$98 bilion dalam jumlah dan kami percaya sasaran ini boleh dicapai, didorong oleh penglibatan perniagaan di kalangan lapan negara terbabit berdasarkan bidang-bidang seperti pelancongan, tenaga, pengangkutan dan pertanian,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA