Kumpulan kerja tangani fenomena El Nino diaktif serta-merta

Kumpulan kerja tangani fenomena El Nino diaktif serta-merta

PUTRAJAYA, 18 Jan – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengaktifkan serta-merta kumpulan kerja bagi menangani situasi panas dan kering berikutan fenomena El Nino, kata Ketua Pengarahnya Datuk Zaiton Ab Samah.

Beliau berkata keadaan panas dan kering yang dijangka berterusan sehingga suku pertama tahun ini berpotensi mewujudkan kesan rantaian seperti kebakaran hutan, penurunan paras air empangan dan juga jerebu.

“Kumpulan kerja ini akan bersidang secara berkala mengikut keperluan bagi memantau situasi dan menyelaras tindakan kadar segera,” kata-nya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat: Persediaan Menghadapi Cuaca Panas dan Kering di sini hari ini.

Menurut Zaiton, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met-Malaysia) meramalkan keadaan yang sedang berlaku berkemungkinan boleh mengatasi kekuatan El Nino yang pernah melanda negara pada tahun 1997/1998, yang mencecah 40.1 darjah Celsius.

Zaiton berkata MetMalaysia juga bersiap sedia untuk melaksanakan operasi pembenihan awan bagi tujuan membentuk awan hujan atau pengairan empangan.

Sementara itu, Ketua Pengarah MetMalaysia Datuk Che Gayah Ismail berkata tahap El Nino kini dikategorikan sebagai sangat kuat dan intensiti fenomena El Nino dijangka mencapai kemuncak pada bulan ini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA