Kumpulan khas tangani isu perumahan ditubuh

Kumpulan khas tangani isu perumahan ditubuh

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Isu-isu yang berhubungan dengan perumahan atau Rancangan Perumahan Negara adalah rumit dan dalam usaha untuk menangani isu-isu perumahan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi penubuhan sebuah Kumpulan Fokus Perumahan atau Housing Focus Group.

Ia melibatkan beberapa kementerian dan jabatan yang sama-sama mengimbangkan isu-isu perumahan yang berkaitan dengannya dan terpenting secara holistik dan komprehensif serta untuk membuat cadangan-cadangan tertentu bukan sahaja dengan menumpukan kepada rancangan perumahan negara tetapi secara meluas lagi.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah dalam mukadimahnya mengenai peruntukan bagi Kementerian Pembangunan semasa Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang pada hari kelapan, hari ini.

Terdahulu dari itu, Yang Berhormat Dato Haji Bahrin, ketika menyentuh mengenai dengan Rancangan Perumahan Negara, berkata sehingga kini lebih 24,000 buah rumah telah dianugerahkan kepada penerima yang berkelayakan di seluruh negara.

Beliau juga mendedahkan bahawa cabaran utama yang dihadapi oleh Rancangan Perumahan Negara adalah daya tahanan atau sustainability kerana kadar subsidi yang sangat tinggi, ketidakmampuan penerima membayar balik yang menjadikan tunggakan semakin meningkat dan sumber tanah yang terhad untuk meneruskan Rancangan Perumahan secara berkepadatan rendah atau low density.

pg05_160316_b

“Di samping itu juga, daripada segi kelayakan dan keperluan, terdapat golongan berpendapatan rendah yang benar-benar memerlukan perumahan tetapi tidak menepati syarat kelayakan untuk mengikut skim yang ada pada masa ini.

“Di sebaliknya terdapat pula mereka yang berpendapatan lumayan dan sepatutnya mampu mendapatkan perumahan di pasaran terbuka tetapi menikmati subsidi perumahan yang tinggi.”

Yang Berhormat Dato Haji Bahrin turut mengulas mengenai dengan perancangan dan penggunaan tanah secara optimum dengan tumpuan terhadap mendukung kegiatan sosioekonomi negara.

Beliau berkata bahawa kajian Pelan Induk Negara Brunei Darussalam (Negara Brunei Darussalam Masterplan) 2006 hingga 2025, mendapati tanah-tanah yang mudah untuk dimajukan (easily developable) di negara ini, hanya 5.5 peratus atau lebih kurang 32,000 hektar sahaja daripada keluasan seluruh Negara Brunei Darussalam.

Selebihnya, ulasnya lagi, ialah kawasan-kawasan yang memerlukan kos kemajuan lebih tinggi atau kawasan-kawasan terpelihara seperti kawasan tadahan untuk bekalan air, hutan simpan dan inisiatif Nadi Borneo (Heart of Borneo).

“Untuk mendukung kegiatan perekonomian setakat ini, seluas 1,533 hektar tanah-tanah untuk kegiatan industri telah diserahkan di bawah kawalan agensi-agensi kerajaan yang mempromosikan kegiatan-kegiatan industri. Manakala 5,375 hektar lagi telah dikenal pasti untuk kegunaan industri bilamana diperlukan nanti.”

Beliau menjelaskan bahawa keluasan tanah itu, tidak termasuk tanah-tanah persendirian bagi kegiatan yang bersyaratkan perniagaan atau perusahaan yang mana seluas 158 hektar tanah persendirian di negara ini adalah bersyaratkan perniagaan dan 1,266 hektar pula bersyaratkan perusahaan.

ARTIKEL YANG SAMA