Kumpulan Maktab Sains muncul juara

Kumpulan Maktab Sains muncul juara

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 14 Ogos – Kumpulan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) berjaya menewaskan enam buah sekolah lain untuk merangkul gelaran juara sekali gus memenangi wang tunai $300 dalam pusingan akhir kebangsaan Pertandingan IET Faraday Do-It-Yourself ‘Misi ke Marikh V2.0’ yang berlangsung di Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC), hari ini.

Sementara itu, tempat kedua disandang oleh kumpulan Sekolah St. George yang memenangi wang tunai $180 dan tempat ketiga dengan wang tunai $120 telah dimenangi oleh pasukan Sekolah St. Andrew.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pengerusi IET Brunei Darussalam bagi sesi 2014-2016, Simon Leong Kian Ann, dengan disaksikan bersama oleh Ketua Pentadbiran OGDC, Awang Abdul Hadi bin Abdullah.

Sebanyak enam kumpulan masing-masing mewakili Sekolah St. George, Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan, Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Lumut, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Sekolah Seri Mulia Sarjana dan Sekolah St. Andrew telah berjaya masuk ke pusingan akhir pertandingan tersebut.

Setiap kumpulan diwakili enam orang peserta yang berusia 15 tahun ke bawah.

Kumpulan Maktab Sains menjuarai pusingan akhir kebangsaan Pertandingan IET Faraday Do-It-Yourself ‘Misi ke Marikh V2.0’.
Kumpulan Maktab Sains menjuarai pusingan akhir kebangsaan Pertandingan IET Faraday Do-It-Yourself ‘Misi ke Marikh V2.0’.

Pertandingan tersebut dianjurkan bersama bahagian Profesional Muda IET Brunei dan OGDC.

Ia dikendalikan oleh profesional STEM daripada Kumpulan IET untuk memberikan guru masa bagi fokus terhadap pelajar mereka, dan ia merupakan peluang yang mencabar serta hebat bagi kalangan pelajar-pelajar.

Ini adalah sejajar dengan Misi dan Visi IET Brunei untuk menggalakkan kemajuan sains, kejuruteraan dan teknologi kepada umum serta untuk memudahkan pertukaran maklumat dan idea mengenai subjek tersebut dalam kalangan orang ramai terutamanya para pelajar.

Antara lain tujuan pertandingan adalah untuk memberikan peluang kepada pelajar membuat penyelidikan, mereka bentuk dan prototaip penyelesaian bagi masalah kejuruteraan yang pernah dihadapi semasa pertandingan sebelum ini.

Sepanjang pertandingan, para pesertanya telah diberikan tugasan cabaran Misi ke Marikh V2.0 iaitu untuk membentuk dan membina sebuah prototaip roket udara berkuasa untuk membawa muatan (sebuah yang berat dan sebuah lagi yang rapuh) dan melancarkannya setinggi tiga meter.

Selain itu, untuk mereka bentuk dan membina prototaip sistem pengangkutan dengan lampu untuk mengangkut roket dari bengkel ke tapak pelancaran dalam garis lurus dan berhenti untuk sejauh tiga meter, serta membentangkan dan menguji prototaip sistem pengangkutan dan roket secara keseluruhannya.

Keseluruhan latihan melalui pertandingan tersebut telah memberikan gambaran kepada pelajar mengenai peranan dan tanggungjawab pasukan kejuruteraan, kerana mereka bukan hanya mencipta prototaip tetapi kemudian perlu mewajarkan idea-idea mereka, selain perbelanjaan dan rancangan perlaksanaan yang perlu dibentangkan kepada para hakim.

Daripada pertandingan itu juga, ia merupakan cabaran yang menggalakkan pembangunan, penyelesaian masalah, kerja berpasukan serta kemahiran berkomunikasi pelajar, dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA