Kumpulan Mashhor anjur acara Toastmaster

Kumpulan Mashhor anjur acara Toastmaster

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Kumpulan Syarikat-syarikat Mashhor telah menganjurkan Acara Toastmaster di The Empire Hotel & Country Club yang dikendalikan oleh penceramah Shawn Narcis, dihadiri sama pengarah-pengarah urusan dan pegawai pengurusan syarikat tersebut baru-baru ini.

Menurut kenyataan dari syarikat itu, hari ini, program itu merupakan aktiviti tahunan mereka, bagi melatih dan membina kecekapan dalam kalangan pekerja, selain secara aktif terus membuka ruang kepada penglibatan pekerja tempatan dalam pelbagai bidang dan jawatan di syarikat tersebut.

Acara itu juga adalah untuk memastikan pekerja tempatan akan lebih berdaya saing dan akhirnya menjadi inspirasi kepada tenaga kerja tempatan lainnya yang menggalakkan anak-anak tempatan yang berpotensi untuk menjadi pegawai utama syarikat dan sebagainya.

Ia juga dihasratkan untuk membangkitkan keyakinan diri kalangan pekerja untuk berkomunikasi dan kemahiran berucap di hadapan khalayak ramai dan amat penting dalam mengendalikan tugas mereka sebagai pemimpin.

Mashhor Local Champion (MLC) diketuai oleh Malai Haji Hamir bin Haji Malai Mashhor, yang juga selaku Pengarah Kumpulan Syarikat-syarikat Mashhor, telah ditubuhkan untuk memfokuskan ke atas pembangunan latihan tempatan dan juga pusat untuk isu-isu rangkaian tempatan dalam syarikat.

Antara yang terlibat dalam Acara Toastmaster Kumpulan Syarikat-syarikat Mashhor.
Antara yang terlibat dalam Acara Toastmaster Kumpulan Syarikat-syarikat Mashhor.

Majlis MLC pula diketuai oleh Dayang Rosnah binti Haji Adnan selaku mentor dan ketua pasukan.

Dayang Rosnah, dalam ucapannya menegaskan beberapa latihan tempatan dan pembangunan telah dicatatkan sejak tahun 1990, ia merupakan strategi kumpulan untuk terus mengembangkan dan meningkatkan bilangan pekerja dan tenaga kerja tempatan, berdasarkan catatan mereka, seramai sembilan orang jurutera tempatan telah dihantar ke United Kingdom, untuk latihan amali dan pendedahan mereka.

Acara itu turut diselajurkan dengan penyampaian sijil anugerah pengesahan pengiktirafan antarabangsa kepada kalangan anak-anak tempatan termasuk pencapaian dalam Penaksir CITB NVQ dan disiplin Internal Verified bagi Scaffolding, Inspektor Penyelam dari Australia dan pensijilan Ketua/Auditor Sambilan.

ARTIKEL YANG SAMA