Kumpulan mukun tempatan muncul juara

Kumpulan mukun tempatan muncul juara

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 24 Mei – Kumpulan Mukun Selindang Sutera yang mewakili Negara Brunei Darussalam ke Pertandingan Bermukun Sempena Karnival Sarawakian di Miri Sarawak baru-baru ini, telah berjaya muncul juara bagi Kategori Orang Awam.

Mengetuai kumpulan tersebut, pemukun tempatan yang tidak asing lagi Awang Irwan Rino bin Nordin memberitahu Media Permata hari ini, kemenangan tersebut memang di luar jangkaannya, kerana mereka hampir membatalkan penyertaan pertandingan tersebut memandangkan keadaan kesihatannya yang belum begitu stabil.

“Bagaimanapun, atas dorongan keluarga dan rakan-rakan serta peminat-peminat seni bermukun tanah air, akhirnya saya bersama rakan dan juga pasangan saya, Wan Zuraimi bin Wan Julaihi, membuat kata sepakat untuk meneruskan penyertaan, biarpun kami sama sekali tidak membuat sebarang persediaan atau latihan,” katanya.

Selain dinobatkan menjuarai Kategori A bagi orang awam, dengan menerima hadiah wang tunai sejumlah RM500, berserta piala dan sijil penyertaan, kumpulan itu turut dikejutkan dengan pengumuman sebagai penerima Anugerah Persembahan Terbaik yang membawa pulang piala iringan berserta wang tunai.

“Ini semua rezeki daripada Allah, saya amat rasa bersyukur, kerana dapat menggembirakan peminat-peminat seni bermukun di tanah air dengan kemenangan yang kami bawa pulang, walaupun dalam pertandingan baru-baru ini dalam Pertandingan Festival Bermukun di Bekenu kumpulan kami hanya mendapat tempat ketiga dalam Kategori Terbuka dan pada tahun lepas kami berada di tempat kedua,” ujarnya.

Kumpulan Selindang Sutera mewakili Negara Brunei Darussalam, menjuarai Kategori Orang Awam, Pertandingan Bermukun Sempena Karnival Sarawakian di Miri Sarawak.
Kumpulan Selindang Sutera mewakili Negara Brunei Darussalam, menjuarai Kategori Orang Awam, Pertandingan Bermukun Sempena Karnival Sarawakian di Miri Sarawak.

Pertandingan anjuran Pustaka cawangan Miri, telah berlangsung selama dua malam pada Jumaat dan Sabtu, di Pentas Utama Tapak Karnival Pustaka Negeri Sarawak Miri, merupakan pertandingan ketiga dengan membukakan tiga kategori iaitu Kategori A bagi orang awam, Kategori B jabatan kerajaan/swasta dan Kategori C bagi pelajar sekolah.

Naib Johan dalam Kategori A telah dimenangi oleh Kumpulan Mukun Bujang Tugau, dan tempat ketiga Kumpulan Taming Sari, manakala bagi Kategori B, juara dimenangi oleh A.S.T (Anak Sarawak Terhebat), di tempat kedua Kumpulan Ombak Rindu, dan ketiga Kumpulan Jangan Tinggal Daku, sementara bagi Kategori C pelajar sekolah telah dimenangi oleh Kumpulan Anak Wawasan Sarawak, di tempat kedua Anak Warisan (Kolej Vokasional) dan di tempat ketiga Anak Warisan (Sekolah Menengah Kerajaan Merbau).

Bagi pertandingan Kategori A, Kumpulan Mukun Selindang Sutera merupakan jemputan awam yang telah bertanding dengan beberapa kumpulan mukun lainnya dari Miri Sarawak, Bekenu, Bintulu, Mukah, Limbang dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah pada majlis penutup pertandingan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Hajah Rashidah binti Haji Bolhassan.

Pertandingan itu merupakan projek tahunan Pustaka cawangan Miri Sarawak selain untuk mengumpulkan para peserta mukun dari dalam dan luar negara sebagai mengekalkan budaya bermukun di kawasan Miri Sarawak.

Selain itu, pihak penganjur turut mengalu-alukan penyertaan pertandingan bermukun dari negara jiran, Brunei Darussalam, di masa akan datang sebagai menyokong mengekalkan tradisi budaya bermukun ini.

ARTIKEL YANG SAMA