Kumpulan nasyid Inteam ceburi bidang perniagaan

Kumpulan nasyid Inteam ceburi bidang perniagaan

KUALA LUMPUR – Kumpulan nasyid Inteam yang sebelum ini terkenal dengan albumnya ‘Allahu Rabbi’ kini dalam diam-diam terlibat aktif dalam bidang perniagaan.

Bermula dengan penubuhan Inteam Records Sdn Bhd pada 2005, juara kategori lagu nasyid terbaik pada Anugerah Industri Muzik 2010 dengan lagu ‘Dia Muhammad’ kini turut mempunyai studio serta syarikat penerbitan Inteam Publishing.

Selain itu terdapat Inteam Mobile yang merupakan kedai yang menguruskan jual beli album atas talian, kata Pengarah Urusan Inteam Records Sdn Bhd, Muhammad Hazamin Harun kepada Bernama.

Beliau berkata walaupun mereka kini aktif dalam melebarkan dan mempelbagaikan perniagaan, namun mereka tidak akan meninggalkan karier muzik kerana ia merupakan platform bagi mereka mengetengahkan perniagaan.

Pada tahun depan, mereka akan melebarkan perniagaan di bawah Inteam Marketing untuk menjual produk makanan kesihatan dan sunnah yang dikeluarkan oleh mereka sendiri, katanya.

Inteam kini dalam diam-diam terlibat aktif dalam bidang perniagaan.
Inteam kini dalam diam-diam terlibat aktif dalam bidang perniagaan.

“Kita ada tiga jenis produk makanan iaitu Miracle Oil (habatus sauda), madu dan kismis yang dikeluarkan dengan jenama kami,” katanya dan menambah mereka akan turut membuka peluang kepada peminat mereka dan juga orang ramai untuk menjadi pengedar barangan mereka.

Beliau berkata Miracle Oil telah menjalani ujian di makmal Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) bagi kegunaan semua peringkat umur.

Inteam yang ditubuhkan pada 1998 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dianggotai 10 orang anggota dan kini dianggotai empat anggota termasuk Muhamamd Hazamin yang lebih dikenali sebagai Amin serta tiga lagi rakannya iaitu Mohd Syahril Ab Khalid, selaku ketua kumpulan, Abdul Rahim Osman yang merupakan Pengarah Eksekutif Inteam Records Sdn Bhd dan Hisyam Ahmad.

Syahril merupakan lulusan ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan automatif, Amin dalam bidang kejuruteraan mekatronik dan Abdul Rahim dalam bidang sains kemanusiaan (komunikasi) sementara Hisyam lulusan sarjana dalam bidang pendidikan.

Menurut Amin, Inteam kini telah mewujudkan lebih daripada 100 rangkaian premis pengedaran yang menjual produk makanan sunnah termasuk penjualan album dan cakera padat yang dihasilkan oleh mereka.

Selain itu kumpulan ini juga akan memulakan Akademi Munsyid Inteam Records (AMIR 2016) yang akan memberi kursus intensif untuk mereka yang meminati nasyid dan ingin mengembangkan bakat dalam bidang tersebut.

“Akademi ini berunsur ilmiah dan sifu-sifu dalam bidang nasyid akan dipanggil untuk berkongsi ilmu dan pengalaman pada 3 Disember ini di UIAM. Ini adalah permulaan dan seterusnya kami akan pergi ke peringkat yang lebih spesifik seperti memberi latihan vokal, muzik dan cara bermain alat perkusi.

“Sekiranya kami tengok ada mereka yang betul-betul berbakat, mungkin mereka boleh menjadi pelapis kepada kumpulan kami,” katanya.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Inteam Records Sdn Bhd, Mohd Syahril Ab Khalid berkata mereka telah melancarkan kelab peminat terbaru iaitu Inteam Miracle Friends yang juga merupakan rangkaian perniagaan untuk menjual produk keluaran Inteam Marketing.

“Kelab peminat ini mempunyai tiga peringkat yang terdiri daripada ahli biasa yang peminat boleh mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai Inteam.

“Mereka juga boleh menyertai kami dalam aktiviti-aktiviti amal yang kami lakukan,” katanya.

Peringkat kedua pula terdiri mereka yang berminat untuk menambah pendapatan sampingan dan menjadi ejen dengan dikenakan bayaran untuk mendapat produk untuk dijual.

Sementara peringkat ketiga merupakan kumpulan yang ingin menjadi stokis kepada barangan mereka, katanya.

“Buat masa ini kita sudah ada 75 orang ejen dan 31 stokis. Produk kami juga sudah sampai ke Indonesia, Thailand, Singapura termasuk Brunei menerusi wakil Inteam di sana,” kata Mohd Syahril.

Beliau juga berkata bermula tahun hadapan, Inteam akan mula mengadakan kursus pendek seperti kursus pemasaran Facebook, pemasaran media sosial dalam usaha untuk mendidik mereka yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan.

“Bagi kami sudah tiba masanya untuk kami berkongsi ilmu pengalaman dan perkara yang perlu dan tidak perlu dilakukan dalam bidang perniagaan.

“Kita nak ajak belia, remaja dan graduan univeristi untuk menceburi bidang perniagaan. Situasi semasa sekarang ini, mungkin sukar untuk mendapat pekerjaan, jadi mereka perlu ada kesedaran untuk menceburi bidang seperti perniagaan,” katanya.

Mohd Syahril juga berkata mereka akan tampil dengan single terbaru bertajuk ‘Ya Rabbi Ya’ hasil ciptaan DJ Fuzz dan klip video lagu tersebut bakal dikeluarkan.

“Dalam single itu kami berduet dengan Adik daripada kumpulan Viral. Lagu itu juga pernah mengungguli carta Itunes bagi kategori World Music,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA