Kumpulan pencuri Selat Melaka berjaya ditumpas

Kumpulan pencuri Selat Melaka berjaya ditumpas

JAKARTA, 15 Nov (Agensi) – Tentera laut Indonesia menahan lima lelaki yang dipercayai anggota sebuah kumpulan yang aktif mencuri peralatan di dalam kapal yang berlayar di Selat Melaka. Komander Armada Barat tentera laut Indonesia, Achmad Taufiqoerrahman berkata, kumpulan itu bukannya lanun tetapi penjenayah lautan yang menyelinap masuk ke dalam kapal untuk mencuri alat ganti.

“Modus operandi kumpulan ini adalah mencuri alat ganti dan menjualnya kepada pihak lain,” katanya di sini kelmarin. Menurutnya, kumpulan ini tidak sama dengan lanun yang merampas kapal dan menjadikan kru sebagai tebusan untuk mendapatkan wang.

“Mereka ini adalah penjenayah dan aktiviti mereka memberi kesan terhadap keselamatan di Selat Melaka,” jelasnya.

Kesemua suspek berusia 23 hingga 44 tahun itu dipercayai terbabit dalam jenayah itu sejak beberapa tahun lalu dan mampu memperoleh pendapatan hampir AS$1,099 sebulan.

Mereka ditangkap ketika bersembunyi di Pamijahan di daerah Bogor, Jawa Barat pada 11 November lalu.

Seorang suspek memberitahu wartawan, dia masuk ke sesebuah kapal secara sembunyi sebelum mencuri pelbagai peralatan dan alat ganti.

Katanya, alat ganti yang dicuri itu kemudiannya dijual kepada seorang lagi ahli kumpulan yang mempunyai hubungan dengan pasaran. Seorang suspek dilaporkan ditangkap di Jakarta selepas membeli alat ganti yang dicuri oleh kumpulan itu.