Kumpulan pengiring kenderaan haram dikesan aktif di ibu kota

Kumpulan pengiring kenderaan haram dikesan aktif di ibu kota

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) – Beberapa kumpulan yang menjalankan perkhidmatan mengiring kenderaan secara haram dikesan aktif di ibu kota dengan sebahagian mereka bertindak berani menyamar sebagai anggota trafik.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Nadzri Hussain berkata kegiatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan dengan bayaran serendah RM300 untuk setiap perjalanan.

“Menurut maklumat risikan serta soal siasat terhadap suspek yang pernah ditahan, bayaran yang mereka peroleh sangat lumayan.

“Bayangkan jika satu perjalanan RM300? Berapa banyak mereka boleh dapat dalam sehari,” katanya kepada Bernama.

Mohd Nadzri berkata dalam tempoh Januari sehingga awal Jun ini, lima individu berusia antara 26 hingga 38 tahun ditahan kerana terlibat kegiatan itu.

“Ada kes di mana suspek ditahan ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CBX 750, yang menyerupai motosikal milik anggota polis trafik.

“Selain itu, ada yang menjalankan kegiatan itu menggunakan kereta dan mereka membunyikan siren sama seperti digunakan polis untuk kenderaan memberi laluan,” katanya.

Mohd Nadzri berkata pelanggan kumpulan ini terdiri daripada orang perseorangan dan juga kenamaan (VIP).

“Cara mereka mendapat pelanggan masih dalam siasatan. Mereka ini bertindak ‘samseng’ di atas jalan raya, mereka menahan kereta, menghalang lalu lintas dan menyebabkan kese-sakan di jalan raya.

“Kumpulan ini tiada ilmu untuk menjalankan kegiatan iring kenderaan dan mereka hanya akan mendatangkan kemarahan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Mohd Nadzri berkata pihak polis memandang serius kegiatan ini kerana ia mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Tiada undang-undang yang memberikan hak kepada orang awam untuk memberhentikan kenderaan untuk beri laluan. Ia hanya kuasa polis trafik,” katanya.

Beliau berkata anggota polis trafik sendiri perlu menjalani latihan berkala untuk memahirkan diri ketika melakukan tugas mengiring kenderaan.

“Anggota trafik perlu menghadiri kursus selama sebulan. Jadi mana mungkin orang awam yang tiada kemahiran secara tiba-tiba ingin jalankan kegiatan ini,” katanya.

Mohd Nadzri menegaskan aktiviti ini memberi imej yang tidak baik kepada polis kerana jika berlaku kemalangan polis yang akan dipersalahkan.

“Bayangkan jika berlaku kemalangan ketika mereka mengiring kenderaan? Sudah tentu orang awam akan kata polis yang buat salah.

“Ini yang kita tidak mahu, saya telah arahkan anggota dan pegawai untuk memantau aktiviti ini dan menahan mereka yang dikesan menjalankan kegiatan ini di ibu negara,” katanya.

Beliau berkata segala aktiviti mengiring kenderaan yang dilakukan oleh anggota trafik di sekitar ibu kota direkodkan oleh pihaknya.

“Oleh itu kami akan tahu segala pergerakan anggota pengiring di mana-mana tempat,” katanya.

Katanya, mereka yang menjalankan kegiatan ini boleh disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai anggota polis, dan membawa hukuman penjara maksimum empat tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.