Kumpulan pertama Belia Berpadi terima sijil

Kumpulan pertama Belia Berpadi terima sijil

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Julai – Kumpulan pertama seramai 14 belia termasuk empat perempuan daripada pelbagai latar belakang telah berjaya menamatkan Kursus Belia Berpadi dan menerima sijil masing-masing pada majlis yang berlangsung di Pusat Pembangunan Belia (PPB) di sini, hari ini.

Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Pada majlis itu, para belia berkenaan turut menandatangani surat perjanjian lot tanah membabitkan kawasan seluas 18 hektar di Kampung Bebuloh, yang telah diluluskan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan, melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan untuk mereka usahakan.

Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya berkata, kejayaan perlaksanaan kursus tersebut dapat memberikan manfaat yang besar bukan sahaja kepada peserta tapi juga kepada negara.

Yang Berhormat Pehin menyampaikan hadiah kepada Awang Hairinshah yang muncul sebagai Peserta Terbaik kursus
Yang Berhormat Pehin menyampaikan hadiah kepada Awang Hairinshah yang muncul sebagai Peserta Terbaik kursus

p03-2_20150717

Peserta kursus Belia Berpadi menerima sijil daripada Yang Berhormat Pehin
Peserta kursus Belia Berpadi menerima sijil daripada Yang Berhormat Pehin

p03-4_20150717

Beliau menyatakan harapan agar mereka akan menjadi pelopor dan contoh kepada golongan belia lain untuk berkecimpung dalam mengembangkan perusahaan pertanian di Negara Brunei Darussalam.

Kursus Belia Berpadi yang bermula   pada Januari hingga Jun 2015 itu dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui PPB dengan kerjasama Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama melalui Jabatan Pertanian dan Perladangan Padi Kampung Limau Manis dan Kampung Wasan.

Menurut Yang Berhormat Pehin, dalam tempoh kursus itu, sebanyak 3,540 metrik tan padi yang dianggarkan bernilai $5,664 berjaya dihasilkan oleh peserta kursus.

Walaupun ia hanya tempoh pembelajaran, tambah beliau, kesungguhan dan kegigihan yang ditunjukkan oleh semua peserta perlu diberikan penghargaan kerana mereka sebelum ini tidak mempunyai apa-apa ilmu dan pengalaman berkaitan dengan penanaman padi dan berjaya melaksanakan tugasan yang diberikan hingga ke saat penuaian padi.

Katanya lagi, penglibatan belia dalam penanaman padi di negara ini dilihat masih sedikit jika dibandingkan dengan bidang pertanian lain dan kebanyakan mereka yang terlibat dalam penanaman padi pada masa ini terdiri daripada golongan yang berumur dan hanya segelintir golongan belia. Maka itu, golongan belia termasuk lepasan sekolah perlu melihat bidang pertanian khususnya penanaman padi dan penghasilan beras sebagai salah satu sumber mata pencarian dan perusahaan yang dapat menyediakan peluang pekerjaan yang berdaya tahan.

“Kementerian melalui PPB akan terus melaksanakan dengan pembukaan penyertaan pengambilan kedua kepada belia yang berminat untuk mengikuti kursus bertanam padi.”

Yang Berhormat Pehin turut menjelaskan, PPB telah menarik minat lebih ramai golongan belia lepasan sekolah di mana pada pengambilan bulan Julai 2015 ini, seramai 205 orang belia terpilih untuk mengikuti program yang ditawarkan di pusat berkenaan.

Daripada jumlah tersebut, seramai 42 orang belia terpilih terdiri daripada golongan susah dan penerima bantuan antaranya Program Pengupayaan Ansaf Zakat, Kompleks Rumah Kebajikan, Program Perkasa penerima bantuan bulanan kebajikan dari Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Katanya, peningkatan jumlah kemasukan ke pusat ini menunjukkan, PPB berada di landasan betul apabila berjaya menjadi “Pusat Bertauliah” bagi pelaksanaan Persijilan City & Guilds.

Di majlis itu, Yang Berhormat Pehin turut menyampaikan hadiah kepada penerima anugerah Terbaik Kursus Belia Berpadi kepada Awang Hairinshah bin Haji Tahirudin.

Antara lain tujuan kursus ini adalah untuk memberikan pengetahuan dan kemahiran berkaitan dengan teknologi penanaman padi kepada golongan belia melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran ‘Sekolah Perladangan Pengusaha Padi (RSSF)’ yang dibimbing sepenuhnya oleh mentor dan fasilitator berpengalaman dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

Sepanjang kursus ini, peserta diajarkan berkaitan dengan pengenalan amalan pengurusan secara kultur mengikut fasa pertumbuhan padi yang antaranya penyediaan sawah padi, penampakan tanaman, kadar benih mengikut pengeluaran benih, pengeluaran komersial dan kawasan tapak semaian serta panduan dalam penggunaan ‘Leaf Colour Chart’ dan pengurusan air.

Selain pelajaran teori dan praktikal, para peserta juga telah menjalani program penempatan bersama peladang sedia ada di kawasan Ladang Padi Majlis Perundingan Kampung (MPK) Limau Manis.

Pendekatan bersama pengusaha padi ini dilihat sangat penting untuk mereka mempersiapkan diri dengan pengalaman dan tip atau petua tradisi dalam penanaman padi yang diwarisi oleh pengusaha di sana.

ARTIKEL YANG SAMA