Kumpulan SGRA menang Cabaran IGNITE

Kumpulan SGRA menang Cabaran IGNITE

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Nov – Kumpulan SGRA yang terdiri daripada empat orang anak muda tempatan, membawa pulang wang tunai $25,000 apabila menjuarai kategori terbuka Cabaran Keusahawanan IGNITE 2015 ke-8.

Sementara itu, menduduki tempat kedua dalam pertandingan akhir yang berlangsung di Auditorium Bangunan Teknologi dan Reka Bentuk, Taman Teknologi Anggerek Desa, hari ini, ialah Kumpulan Nurture Enterprise yang memenangi wang tunai $15,000 dan tempat ketiga disandang oleh Kumpulan NewGate Plus dengan menerima $10,000.

Manakala itu, Kumpulan Inncee dari Singapura berjaya membawa pulang hadiah wang tunai $10,000 bagi Kategori Antarabangsa.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei Darussalam (BEDB), Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim.

Terdahulu, majlis menyaksikan sebanyak enam kumpulan finalis Kategori Terbuka termasuk Kumpulan Neogene Tourism, Kumpulan Guru dan Kumpulan Adi Iskandar Basri, serta satu kumpulan dalam Kategori Antarabangsa membentangkan idea dan cadangan produk masing-masing di hadapan empat orang juri.

Kumpulan SGRA berjaya membawa pulang hadiah utama wang tunai bernilai $25,000 bagi Kategori Terbuka menjuarai Cabaran Keusahawanan IGNITE 2015 ke-8 tahun ini.
Kumpulan SGRA berjaya membawa pulang hadiah utama wang tunai bernilai $25,000 bagi Kategori Terbuka menjuarai Cabaran Keusahawanan IGNITE 2015 ke-8 tahun ini.
Gambar ramai pemenang dan tetamu kehormat.
Gambar ramai pemenang dan tetamu kehormat.

Barisan juri terdiri daripada Pengarah Urusan Seri Venture Capital, Soon Loo; Pengarah Urusan Goldman Sachs Asia LLC, Albert Goh; Pemangku Ketua Pembangunan Produk Progresif Cellular Sdn Bhd, Radi El Fassed dan Pemangku Pengarah Pusat Kebangsaan e-Kerajaan (EGNC), Awang Zainurrijal bin Haji Abdullah.

Salah seorang ahli Kumpulan SGRA, Awang Zahirul Ghazi bin Jomari, 19, semasa ditemui pihak Media Permata menjelaskan bahawa ini merupakan kali pertama kumpulan mereka menyertai IGNITE dan mereka sememangnya tidak menyangka untuk memenanginya.

Tiga orang ahli lain kumpulan ini ialah Awang Abdul Qawi bin Awang Yahya, Awangku Muhd Amirzulhafiy bin Pengiran Adanan dan Awang Muhd Afiq Mu’Taz Mutawalli bin Rusli.

Kumpulan ini menampilkan idea mengenai peranti yang dibangunkan khas bagi semua kenderaan berhubung segera atau menyampaikan mesej kecemasan jika berlakunya kemalangan.

Awang Zahirul Ghazi menjelaskan, dengan kemenangan hari ini dan hadiah yang dimenangi akan membantu kumpulan mereka untuk memulakan idea keusahawanan dengan kerjasama iCentre dan beberapa buah syarikat yang berminat.

Menurut beliau lagi, idea ini bermula daripada peningkatan kes-kes kemalangan jalan raya yang meragut nyawa dan cabaran terbesar dalam Cabaran Keusahawanan IGNITE 2015 ini ialah pengurusan masa kerana terpaksa membahagikan masa dengan pelajaran.

ARTIKEL YANG SAMA