Kumpulan Tumpuan Jenayah Siber ditubuh

Kumpulan Tumpuan Jenayah Siber ditubuh

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Pejabat Peguam Negara telah menubuhkan Kumpulan Tumpuan Jenayah Siber yang merangkumi pendakwa-pendakwa di bawah Divisyen Keadilan Jenayah yang telah menjalani latihan dalam dan luar negara mengenai perkara yang berkaitan dengan jenayah siber dan keselamatan siber.

Penubuhan ini bertujuan untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dengan pihak berkuasa lain di Brunei Darussalam bagi memastikan Brunei Darussalam dilindungi daripada ancaman berpunca daripada jenayah siber.

Ia termasuk bidang utama seperti rangka kerja undang-undang, prosedur siasatan serta langkah pencegahan.

Perkara ini adalah antara yang disampaikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Dayang Karen Tan dalam ucapan alu-aluannya pada sesi taklimat pengenalan pertama Kumpulan Tumpuan Jenayah Siber, Pejabat Peguam Negara untuk pegawai-pegawai Polis Diraja Brunei yang berlangsung di Ibu Pejabat Baru Polis Diraja Brunei, Jalan Tungku.

DPP Karen menjelaskan, kumpulan yang ditubuhkan pada 3 Ogos 2015 itu bukan sahaja berfungsi untuk berunding dengan agensi relevan bagi memastikan Brunei Darussalam mempunyai undang-undang yang sesuai untuk mengatasi pelbagai jenis jenayah siber tetapi juga menjadi tumpuan utama semua pertanyaan perundangan daripada agensi penguatkuasaan undang-undang mengenai siasatan dalam isu-isu berkaitan dengan jenayah siber.

Taklimat jenayah siber yang disampaikan oleh DPP Karen Tan dan DPP Sharon Yeo.
Taklimat jenayah siber yang disampaikan oleh DPP Karen Tan dan DPP Sharon Yeo.
Antara pegawai Polis Diraja Brunei hadir pada sesi taklimat pengenalan pertama Kumpulan Tumpuan Jenayah Siber, Pejabat Peguam Negara untuk pegawai-pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei yang berlangsung di Ibu Pejabat Baru Polis Diraja Brunei, Jalan Tungku.
Antara pegawai Polis Diraja Brunei hadir pada sesi taklimat pengenalan pertama Kumpulan Tumpuan Jenayah Siber, Pejabat Peguam Negara untuk pegawai-pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei yang berlangsung di Ibu Pejabat Baru Polis Diraja Brunei, Jalan Tungku.

Ia sejajar dengan dasar ‘Pintu Terbuka’ Pejabat Peguam Negara untuk penyiasat berhubung dengan nasihat mengenai jenayah khas.

Taklimat berkenaan telah dihadiri seramai 61 orang pegawai Polis Diraja Brunei yang ditugaskan dalam siasatan dan risikan serta Penolong Pendakwa Raya dari Pejabat Peguam Negara. Juga hadir ialah Ketua Pejabat Urus Setia CP, Supt. Pang Teck Ann.

Taklimat disusuli dengan pembentangan oleh DPP Sharon Yeo yang bercakap mengenai pengendalian bukti digital dalam kes jenayah siber.

Dalam pembentangannya, DPP Sharon turut berkongsi amalan terbaik dalam pengumpulan bukti yang dipelajari daripada penyertaannya dalam Program Latihan Jenayah Siber yang dijalankan oleh Pasukan Polis Singapura, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dan INTERPOL di bawah Program Latihan Negara Ketiga Singapura-Amerika Syarikat.

Beliau juga, menekankan kepentingan menggunakan saluran komunikasi formal dan tidak formal untuk mendapatkan maklumat menerusi kerjasama antarabangsa.

Taklimat yang juga dihadiri oleh pegawai daripada Pejabat Peguam Negara itu berakhir dengan sesi soal dan jawab.

ARTIKEL YANG SAMA