Kunjungan hormat Mejar Jeneral Arab Saudi

Kunjungan hormat Mejar Jeneral Arab Saudi

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Kementerian Pertahanan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit telah menerima kunjungan hormat daripada Komander Cawangan Perang dan Maktab Turus Markas Tentera, Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Mejar Jeneral (U) Abdullah bin Saleh Al-Shehri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, hari ini, semasa kunjungan hormat di Bolkiah Garrison, pada 9 Januari lalu, itu Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menyambut baik lawatan Mejar Jeneral (U) Abdullah ke Negara Brunei Darussalam.

Mejar Jeneral (U) Abdullah mengetuai delegasi seramai 21 orang pegawai kanan terdiri daripada pelatih-pelatih dan peserta-peserta Maktab Turus Markas Tentera, Kementerian Pertahanan Arab Saudi, berada di Negara Brunei Darussalam bagi lawatan sambil belajar bermula 6 hingga 13 Januari.

Menurut kenyataan itu lagi, pada 2016, Timbalan Menteri Pertahanan membuat dua lawatan ke Kerajaan Arab Saudi, yang pertama bagi lawatan kerja pada 26-29 Januari dan yang kedua bagi menyaksikan latihan tentera Exercise North Thunder pada 10 Mac.

Pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Pertahanan, Kerajaan Arab Saudi yang terkini melawat Negara Brunei Darussalam ialah Mejar Jeneral Staff Pilot Hussein bin Mohammed Alassaf dan Brigedier Jeneral Mashari Saad Al-Ghunaim pada April 2016.

Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menerima kunjungan hormat daripada Mejar Jeneral (U) Abdullah.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menerima kunjungan hormat daripada Mejar Jeneral (U) Abdullah.
Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih menerima kunjungan hormat daripada Mejar Jeneral (U) Abdullah.
Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih menerima kunjungan hormat daripada Mejar Jeneral (U) Abdullah.

Sementara itu, kenyataan daripada Kementerian Pertahanan turut menyatakan bahawa Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah juga menerima kunjungan hormat dari Mejar Jeneral (U) Abdullah di Bolkiah Garrison, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, semasa kunjungan berkenaan, Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih mengalu-alukan kehadiran Mejar Jeneral (U) Abdullah bagi lawatan pertama Maktab Turus Markas Tentera, Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam.

Pemerintah ABDB turut dipetik memuji hubungan pertahanan di antara ABDB dan Angkatan Bersenjata Diraja Arab Saudi yang berkembang secara positif yang penting serta bermanfaat secara strategik terutama dalam keadaan sekuriti global masa ini.

Kenyataan turut menyatakan bahawa kedua-dua belah pihak menyatakan harapan bagi pertukaran dan lawatan formal berterusan bagi meningkatkan lagi rangkaian pertahanan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Arab Saudi.

ARTIKEL YANG SAMA