Kunjungan hormat penerima biasiswa

Kunjungan hormat penerima biasiswa

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mac – Tiga pelajar tempatan yang akan melanjutkan pengajian tinggi mereka di bawah biasiswa Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun (MEXT) hari ini mengadakan kunjungan hormat kepada Duta Besar Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Noriko Iki, di pejabat kedutaan itu di Kampung Kiulap, di ibu negara.

Ketiga-tiga mereka, Han Yean, Lim Kim Suan dan Dayang Nur ‘Azimatul Quddsyiah binti Haji Maidin akan berlepas ke Jepun untuk menyambung pengajian masing-masing bermula awal April 2016.

Han Yean merupakan graduan lepasan University of Liverpool pada 2012 dan akan menjadi pelajar penyelidikan di Sekolah Sains Kreatif Universiti Waseda, manakala Lim Kim Suan adalah bekas graduan dari School of Oriental and African Studies, London pada 2012 dan akan belajar di Sekolah Pengajian Asia Pasifik di universiti yang sama.

Sementara itu, Dayang Nur ‘Azimatul Quddsyiah yang telah menuntut di Universiti Brunei Darussalam pada 2014 akan melanjutkan pengajiannya dalam bidang penyelidikan pertanian di Universiti Hokkaido.

Pejabat Kedutaan Jepun dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, kerajaan Jepun menyediakan pelbagai program biasiswa untuk pelajar asing, termasuk program bagi mereka yang ingin melanjutkan pengajian sebagai pelajar penyelidik, mahasiswa dan pelajar kolej yang berkemahiran khusus.

Puan Yang Terutama Noriko Iki (ketiga dari kiri) bergambar ramai bersama tiga pelajar berkenaan.
Puan Yang Terutama Noriko Iki (ketiga dari kiri) bergambar ramai bersama tiga pelajar berkenaan.

Han Yean, Lim Kim Suan dan Dayang Nur ‘Azimatul Quddsyiah terpilih untuk mengikuti program biasiswa itu setelah mereka lulus dalam ujian yang mencabar dan temu duga untuk melayakkan mereka terpilih sebagai pelajar penyelidikan.

Pada kunjungan itu, ketiga-tiga pelajar menyuarakan rasa besar hati mereka kerana diberi peluang melanjutkan pengajian di universiti di Jepun.

Puan Yang Terutama Noriko Iki berharap, ketiga-tiga mereka akan berjaya dalam bidang penyelidikan masing-masing, di samping menikmati kehidupan dan budaya masyarakat Jepun.

Beliau seterusnya berharap, mereka dapat mendalami lagi pengetahuan mereka terhadap Jepun dan dapat menyumbang ke arah hubungan Jepun-Brunei pada masa akan datang.

Menurutnya, kerajaan Jepun pada masa ini sedang mempromosi Rancangan 300,000 Pelajar Asing yang bermatlamat untuk menerima sejumlah 300,000 orang pelajar antarabangsa menjelang 2020.

Bagaimanapun, jumlah pelajar asing yang menuntut di Jepun sehingga 2014 adalah sekitar 184,000 dengan 90 peratus daripada mereka adalah dari Asia.

Sehubungan itu, Pejabat Kedutaan Jepun di negara ini mengumumkan, permohonan program Biasiswa Kerajaan Jepun bagi 2016/2017 akan dibukakan pada Mei sehingga Jun 2016 dan mereka yang terpilih akan memulakan pengajian mereka di Jepun pada April 2017.

ARTIKEL YANG SAMA