Kunjungan muhibah ceriakan warga Pusat Ehsan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 21 April – Pelajar-pelajar Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) Cawangan Daerah Belait hari ini diceriakan dengan beberapa acara melalui kunjungan daripada tiga rombongan dari Kelab Motosikal ICMC, Jambangs Barber Shop dan Syarikat Perkhidmatan Fotografi dan Video Piston Head masing-masing dari Bandar Seri Begawan, Kuala Belait dan Tutong.

Dalam lawatan berkenaan, rombongan seramai 15 orang berkenaan turut mengadakan beberapa aktiviti amal termasuk pameran mini haiwan peliharaan eksotik yang menunjukkan berbagai-bagai jenis ular, perkhidmatan gunting rambut kepada 11 orang pelajar lelaki dan mengadakan jamuan makan bersama para pelajar tajaan Red Roster, Kampung Pandan.

Selain itu, mereka juga menyertai aktiviti rutin pelajar di sana, termasuklah persembahan tunjuk bakat daripada beberapa orang pelajar lelaki di pusat berkenaan.

Salah seorang ahli rombongan itu, Awang Mohd Hafizuddin bin Ismail memberitahu Media Permata, lawatan dan melakukan kerja-kerja amal ke pusat berkenaan merupakan kali pertama diadakan dengan hasrat untuk merapatkan diri bersama dengan pelajar-pelajar istimewa pusat itu.

Di samping itu, ingin melihat secara lebih dekat aktiviti rutin pelajar-pelajar berkenaan dan dalam masa yang sama mengambil kesempatan untuk bersama-sama menyertai aktiviti rutin mereka.

Seorang pelajar Pusat Ehsan menerima khidmat menggunting rambut oleh wakil Jambangs Barber Shop.
Seorang pelajar Pusat Ehsan menerima khidmat menggunting rambut oleh wakil Jambangs Barber Shop.
Pelajar-pelajar Pusat Ehsan seronok menyaksikan haiwan eksotik yang dipamerkan.
Pelajar-pelajar Pusat Ehsan seronok menyaksikan haiwan eksotik yang dipamerkan.

Menurutnya, pameran haiwan eksotik yang diadakan adalah untuk mengubah cara berfikir terutama dalam kalangan kanak-kanak bahawa haiwan-haiwan itu boleh dijadikan binatang peliharaan.

Beliau memberitahu, pameran tersebut dikendalikan oleh EDPet Shop yang beroperasi di rumah-rumah pemilik haiwan berkenaan dan setakat ini mereka mempunyai kira-kira 40 ekor terdiri daripada berbagai jenis haiwan eksotik yang majoritinya adalah spesies reptilia.

“Pameran sering kami sertai melalui ekspo dan jerayawara yang diadakan di sekolah-sekolah di seluruh negara dan pameran mini hari ini, kami adakan untuk memberikan peluang kepada pelajar-pelajar istimewa supaya mereka turut merasakan bahawa haiwan-haiwan itu boleh dijadikan haiwan peliharaan,” ujarnya.

Sementara itu, pemilik Jambangs Barber Shop, Awang Mohd Khairul bin Abdul Kayum pula melahirkan rasa syukur kerana mereka diberikan peluang melakukan aktiviti amal di pusat berkenaan dan berharap aktiviti seperti itu akan dapat menjadi inspirasi kepada belia-belia lain untuk sama-sama melibatkan diri memberikan sokongan kepada masyarakat yang memerlukan di negara ini.

Menurutnya, Jambangs Barber Shop telah ditubuhkan kira-kira setahun lalu dan pada masa ini beroperasi di kawasan Kampung Tanjung Bunut, Daerah Brunei Muara.

Mereka mempunyai lima orang pekerja tempatan yang telah dilatih dan menurutnya kedai gunting tempatan sudah semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat malah ia juga telah menarik minat ramai belia untuk menyertainya.