Kunjungan muhibah kepada pengasas BSUnion

Kunjungan muhibah kepada pengasas BSUnion

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Kesatuan Penuntut-penuntut Brunei di United Kingdom dan Eire (BSUnion), yang diketuai oleh presidennya, Awang Muhammad Ayyub bin Haji Kamaluddin, baru-baru ini, telah membuat kunjungan muhibah kepada Mantan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abdul Aziz bin Begawan Pehin Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar.

Menurut kenyataan BSUnion, kunjungan itu, yang juga bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, memberikan peluang kepada Majlis BSUnion untuk mempelajari mengenai sejarah pertubuhan.

Kesatuan itu meraikan ulang tahunnya ke-55 pada tahun lalu, dan pada masa ini mengendalikan projek untuk mendokumenkan sejarah pertubuhan itu, persatuan bersekutu, begitu juga dengan Brunei Hall.

Yang Berhormat Pehin terlibat secara langsung dalam penubuhan kesatuan itu pada 1959, bukan sahaja sebagai satu-satunya ahli pengasas, tetapi sebagai presiden kesatuan yang pertama. Visinya bersama yang lain pada ketika itu meletakkan asas dalam membangunkannya menjadi kesatuan yang ada pada hari ini.

Pada ketika itu, belum ada sebarang agensi Brunei yang secara rasminya menjaga kebajikan para penuntut, selain daripada Pejabat Kolonial, yang bukan hanya menjaga elaun penuntut Brunei, tetapi juga para penuntut dari negara-negara Komanwel British.

Rombongan ahli-ahli BSUnion yang diketuai Awang Muhammad Ayyub bergambar ramai bersama Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abdul Aziz.
Rombongan ahli-ahli BSUnion yang diketuai Awang Muhammad Ayyub bergambar ramai bersama Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abdul Aziz.

Oleh itu, Yang Berhormat Pehin dan rakan sejawatannya percaya pertubuhan yang dikendalikan oleh penuntut-penuntut Brunei untuk mewakili kepentingan mereka kepada kerajaan Brunei adalah penting.

Ketika kunjungan tersebut, Yang Berhormat Pehin mengingatkan ahli-ahli BSUnion supaya tidak melupakan asal usul mereka dan sentiasa menjadi rakyat Brunei ketika mendapatkan pengalaman di luar negara. Ini termasuk berpegang teguh kepada falsafah Melayu Islam Beraja serta sentiasa taat setia kepada raja.

Selain itu, Yang Berhormat Pehin juga mengingatkan mereka mengenai kepentingan bahawa kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan telah mengutamakan pendidikan bagi semua rakyat, oleh itu tugas mereka sebagai ilmuan adalah menyumbang semula dan terus membangunkan Brunei, dari segi duniawi dan ukhrawi.

ARTIKEL YANG SAMA