Kunjungan Penasihat Pertahanan M’sia

Kunjungan Penasihat Pertahanan M’sia

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit, telah menerima kunjungan pengenalan daripada Penasihat Pertahanan Malaysia ke Brunei Darussalam, Kolonel Kamarudzaman bin Mohd Thani.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kunjungan di Kementerian Pertahanan itu menekankan hubungan pertahanan yang rapat dan berpanjangan di antara Brunei Darussalam dan Malaysia.

Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Angkatan Bersenjata Diraja Malaysia (ABDM) kerap berinteraksi menerusi pertukaran profesional, penyertaan kerap dalam kursus-kursus profesional dan penyertaan pegawai-pegawai ABDB dalam misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan di bawah Batalion Malaysia.

Lawatan itu diakhiri dengan pertukaran cenderamata di antara Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz dan Kolonel Kamarudzaman.

Sementara itu, Kolonel Kamarudzaman turut membuat kunjungan pengenalan kepada Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz semasa menerima kunjungan pengenalan daripada Kolonel Kamarudzaman.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz semasa menerima kunjungan pengenalan daripada Kolonel Kamarudzaman.

Ia bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan pertahanan dua hala di antara kedua-dua angkatan bersenjata dan sebagai peluang untuk meneroka bidang-bidang kerjasama ketenteraan di antara ABDB dan ABDM.

Dalam pada itu, Kolonel Kamarudzaman turut membuat kunjungan kepada Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Datin Paduka Hajah Suriyah binti Haji Umar.

ARTIKEL YANG SAMA