Kunjungan persefahaman UMS ke UNISSA

Kunjungan persefahaman UMS ke UNISSA

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Julai – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada rombongan seramai 29 orang dari Universitas Muhammadiyah Sukarta (UMS), Republik Indonesia.

Kehadiran delegasi yang diketuai oleh Rektornya, Profesor Dr Bambang Setiaji, MS dan disertai beberapa orang timbalan rektor, dekan-dekan fakulti dan beberapa orang pensyarah berkenaan, telah dialu-alukan oleh Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Penolong Rektor, Dr Arman bin Haji Asmad.

Turut hadir bagi majlis tersebut ialah pegawai-pegawai utama UNISSA yang terdiri daripada dekan-dekan fakulti dan pengarah pusat.

Menurut kenyataan UNISSA, dalam sesi perbincangan antara UNISSA dan UMS, kedua-dua belah pihak bersetuju akan terus berusaha menjalinkan kerjasama dalam bidang-bidang yang bersesuaian khususnya dalam bidang Pengajian Islam, Ekonomi dan Undang-undang.

Begitu juga kolaborasi dalam penglibatan ahli akademik kedua institusi berkenaan dalam penulisan artikel akan dapat dikongsi sama untuk diterbitkan dalam Jurnal Ilmiah keluaran masing-masing.

Gambar ramai rombongan UMS bersama pegawai-pegawai utama UNISSA.
Gambar ramai rombongan UMS bersama pegawai-pegawai utama UNISSA.

Dalam kunjungan ini juga, pihak delegasi UMS menyuarakan rasa kekaguman terhadap atas komitmen yang telah diusahakan dalam membuat strategik perkembangan melahirkan ulama dan amat berharap bahawa UNISSA akan menjadi sebuah universiti Islam yang terunggul di rantau Asia.

UMS merupakan salah satu daripada 164 Perguruan Tinggi Muhammadiyah (PTM), Republik Indonesia, yang terletak di Kecamatan Kartasura Kabupaten Sukoharjo (Kartasura, Sukoharjo).

Penubuhannya adalah dengan tekad mewujudkan kampus sebagai ‘Wacana Keilmuan dan Keislaman’, iaitu mampu menumbuhkan budaya Islam yang menguasai ilmu pengetahuan dan keterampilan yang dilandasi nilai-nilai keislaman.

ARTIKEL YANG SAMA