Kunjungan selamat tinggal Obama, Merkel

Kunjungan selamat tinggal Obama, Merkel

BERLIN, 17 Nov – Presiden AS Barack Obama hari ini mengadakan pertemuan dengan Canselor Jerman Angela Merkel dalam kunjungan selamat tinggal, yang secara meluas dilihat sebagai pembawa standard baru demokrasi liberal sejak pemilihan Donald Trump.

Pada pusingan terakhir dalam jelajah Eropah terakhir beliau sebagai presiden, Obama akan menekankan mengenai perkongsian, cuba meredakan kebimbangan tentang masa depan kerjasama rentas Atlantik dan berterima kasih kepada Merkel di atas persahabatan beliau dalam tempoh dua penggal beliau, menurut para pegawai Rumah Putih.

Ketika para pemimpin Barat bersiap sedia bagi perubahan yang berpotensi radikal apabila Trump memasuki Oval Office pada bulan Januari depan, Obama menamatkan kunjungannya ke Athens semalam, dengan memberi amaran bahawa globalisasi memerlukan ‘pembetulan laluan’ bagi menghalang para pengundi dari tersasar kepada melampau.

“Apabila kita melihat orang ramai, elit-elit sejagat, perbadanan kaya yang nampaknya menjalani kehidupan dengan set peraturan berbeza, mengelak cukai, memanipulasi jalan keluar, ini menyalurkan rasa mendalam ketidakadilan,’ ujarnya.

Selepas kemenangan Trump yang mengejutkan, Merkel melahirkan keinginan untuk mengekalkan hubungan rapat dengan Washington.

Tetapi dalam penyimpangan luar biasa dari kebiasaan bagi Jerman yang telah lama melihat AS sebagai pelindungnya dan rakan paling dekat, Merkel menekankan kerjasama perlu berdasarkan pada dasar demokrasi yang dikongsi sama dan menghormati maruah manusia.

Para penganalisis berkata pertemuan hari ini boleh dilihat sebagai penyerahan obor dari Obama kepada Merkel, yang disifatkan oleh Obama “mungkin rakan antarabangsa paling terdekatnya,” bagi pengawasan dunia bebas. – AFP