Kunjungan tetamu diraja meriahkan sambutan TBC

Kunjungan tetamu diraja meriahkan sambutan TBC

Oleh Rafidah Jumat

Gambar oleh Imelda Groves

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Feb – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan dan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz, hari ini, berangkat ke majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina salah seorang kenamaan yang juga ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin.

Sebelum keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia dan Yang Amat Mulia, kediaman Yang Berhormat Pehin di Kampung Sungai Besar telah dimeriahkan dengan persembahan Tarian Singa yang memukau para tetamu.

Yang Teramat Mulia dan Yang Amat Mulia meluangkan masa sejam di kediaman Yang Berhormat Pehin untuk beramah mesra sambil menjamu hidangan yang disediakan.

Terdahulu, Yang Teramat Mulia dan Yang Amat Mulia turut berangkat ke kediaman Bekas Presiden Sekolah Chung Hwa, Chang Eing Hong di Kampung Salambigar.

YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bersama Pesuruhjaya Tinggi Britain TYT David Ian Campbell semasa kunjungan ke rumah Yang Berhormat Pehin Goh King Chin (dua dari kanan).
YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bersama Pesuruhjaya Tinggi Britain TYT David Ian Campbell semasa kunjungan ke rumah Yang Berhormat Pehin Goh King Chin (dua dari kanan).
Keluarga Soon Seng Lee bergambar ramai.
Keluarga Soon Seng Lee bergambar ramai.
Sebilangan keluarga Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lau Ah Kok bergambar ramai.
Sebilangan keluarga Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lau Ah Kok bergambar ramai.

Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia dan Yang Amat Mulia dijunjung oleh Chang Eing Hong berserta keluarga.

Di Brunei Darussalam, Sambutan Tahun Baru Cina, yang mana tahun ini merupakan Tahun Monyet dalam zodiak Cina, mula disambut sederhana namun meriah oleh masyarakat Cina tambahan lagi dengan adanya kunjungan daripada ahli keluarga dan juga sahabat-handai tanpa mengira bangsa dan agama.

Majlis rumah terbuka ini berfungsi sebagai salah satu peluang untuk mengukuhkan hubungan dan persahabatan dalam kalangan masyarakat Cina di Brunei serta memperluaskan lagi salam perayaan keluarga.

Sehubungan itu, Media Permata turut berkesempatan membuat kunjungan ke kediaman Yang Dimuliakan Pehin Kapitan China Kornia Diraja Dato Paduka Lau Ah Kok di Kampung Manggis.

Sebaik tiba sekitar jam 4 petang, kelihatan orang ramai masih berada di luar kawasan kediaman Pehin di mana mereka diarahkan untuk beratur sebelum dibahagikan kepada kumpulan.

Dalam temu bual bersama Lau Soon Tiong yang juga merupakan cucu kepada Pehin, katanya, dianggarkan sekitar 800 hingga 1,000 orang bertandang ke majlis rumah terbuka mereka.

Keluarganya mula mengadakan majlis rumah terbuka untuk kunjungan orang ramai sejak Pehin menerima gelaran lebih kurang 10 tahun yang lalu.

Selain untuk memeriahkan hari pertama Tahun Baru Cina, katanya, majlis rumah terbuka ini juga bertujuan untuk ‘memberi balik’ kepada masyarakat sebagai tanda terima kasih, dan yang menariknya mereka sekeluarga menyediakan sepenuhnya hidangan untuk tetamu tanpa menempah perkhidmatan katering dari luar.

Media Permata juga membuat kunjungan ke rumah terbuka pemilik Syarikat Perniagaan Faedah Jaya yang juga salah seorang ahli Lembaga Pengarah Sekolah Chung Hwa Tutong, Soon Seng Lee yang terletak di Lebuh Raya Tungku.

Pada akhir kunjungan, para tetamu telah diberikan angpau dan limau Mandarin sebagai tradisi tatkala menyambut kehadiran Tahun Baru Cina.

ARTIKEL YANG SAMA