Kunjungan UBD ke Rumah Orang-orang Tua

Kunjungan UBD ke Rumah Orang-orang Tua

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 20 Sept – Kira-kira 30 orang dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah membuat kunjungan ke Rumah Orang-orang Tua Pekan Seria melalui Projek Khidmat Masyarakat, hari ini.

Projek yang pertama diadakan tahun ini merupakan salah satu aktiviti Model MIB di institut tersebut dan disertai pelajar semester pertama di bawah Akademi Pengajian Brunei dengan gabungan fakulti antaranya School of Business and Economic (SBE), Faculty of Science (FOS), Faculty of Art & Social Science (FASS) dan Institute of Health Science (IHS).

Pengerusi Projek Khidmat Masyarakat itu, Dayang Mariani binti Yakop dalam temu bual bersama Media Permata, menyatakan bahawa, melalui projek itu para mahasiswa dan mahasiswi UBD diharap dapat menanamkan sikap suka bantu-membantu, sentiasa prihatin kepada kalangan masyarakat yang memerlukan, tanpa mengira usia, bangsa dan agama.

Ia juga diharapkan dapat mengeratkan silaturahim antara mereka dengan masyarakat sekeliling, tambahnya.

Menurut Dayang Mariani, Model MIB di UBD merangkumi banyak aspek dan antaranya kemasyarakatan, dan dari sini nanti ia akan dilaratkan lagi ke tempat lain juga dalam bentuk projek kemasyarakatan.

Sesi bergambar ramai di kalangan mahasiswa dan mahasiswi UBD, ketika berkunjung ke Rumah Orang-Orang Tua Pekan Seria kelmarin.
Sesi bergambar ramai di kalangan mahasiswa dan mahasiswi UBD, ketika berkunjung ke Rumah Orang-Orang Tua Pekan Seria kelmarin.

Projek berkenaan diisi dengan beberapa aktiviti termasuk Ice Breaking dengan memperkenalkan diri mereka kepada penghuni di Rumah Orang-Orang Tua Pekan Seria, seterusnya beramah mesra, bertanyakan perkhabaran warga emas berkenaan dan berkongsi cerita-cerita yang boleh membantu menggembirakan penghuni, seterusnya bermain congkak bersama kalangan penghuni di sana serta sebagainya.

Turut diadakan termasuk kerja-kerja membersihkan kawasan dalam dan luar rumah berkenaan, yang diadakan pada sebelah petang, kemudian solat Zohor selepas menikmati jamuan.

Di akhir sesi berkenaan, rombongan turut menghulurkan cenderahati berbentuk keperluan harian untuk warga emas di rumah itu yang disampaikan beramai-ramai.

Senyuman riang di wajah warga emas berkenaan menggambarkan mereka telah terhibur dengan adanya rasa prihatin masyarakat luar terhadap mereka yang hanya tinggal sebatang kara, tanpa saudara mara terdekat menemani hari-hari mereka yang terus dimamah usia.

ARTIKEL YANG SAMA