Kunjungi pameran ‘Earth Quest’ bermula Nov ini

Kunjungi pameran ‘Earth Quest’ bermula Nov ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Para pengunjung Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) akan berpeluang untuk mengalami pelbagai aktiviti interaktif dan menyaksikan pameran menarik berkaitan bumi apabila pusat sains yang terletak di Seria itu menghoskan pameran bertema ‘Earth Quest’ yang akan dilancarkan 19 November ini.

Pameran yang akan berlangsung sehingga 17 Jun 2017 itu dihasilkan oleh Questacon iaitu Pusat Sains dan Teknologi Kebangsaan di Canberra menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh OGDC, hari ini.

Daripada ruang angkasa lepas hinggalah dalam bumi, para pengunjung akan dibawa melalui perjalanan yang tidak akan dapat dilupakan di pusat itu dengan 30 pameran interaktif yang meneroka tema-tema astronomi, geologi, geografi, sains persekitaran dan biologi.

Salah satu pameran yang pastinya akan menarik perhatian para pengunjung ialah ‘Galaxy Gaze’ yang mana para pengunjung boleh melihat dengan teliti menerusi teleskop model untuk melihat pelbagai bahagian galaksi.

Para pelajar akan dapat menyaksikan tema utama seperti persekitaran, tekanan udara, iklim, geologi, gas dan fosil, astronomi dan banyak lagi. Menurut kenyataan itu lagi, bersempena dengan pelancaran pameran Earth Quest, OGDC akan mengaturkan pelbagai program pendidikan bagi lawatan-lawatan sekolah dan juga keseronokan pengunjung.

Pada masa yang sama, OGDC akan menyediakan pakej pesta hari jadi dengan kegiatan berasaskan tema ‘Earth Quest”.

Program-program baru akan tersedia untuk ditempah melalui laman sesawang OGDC bermula 19 November 2016.

Bagi pertanyaan tentang lawatan atau pameran, orang ramai boleh menghubungi kaunter penyambut tetamu OGDC di talian 3377200 atau melalui e-mel di info@ogdcbrunei.com dan melayari laman sesawang ogdcbrunei.com bagi maklumat lanjut tentang pameran dan program baru.

ARTIKEL YANG SAMA